- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Monday, June 21, 2010

Pesanan Seorang Ayah


Anakku...


"TANAH bermakna pasir, anakku. Pasir-pasir bercantum, terjadilah dataran. Rata. Cantuman pasir, batu; dan debu menghasilkan tanah. Berjenis-jenis tanah. Lalu, manusia yang sampai di situ berasa untuk memilih dan memiliki tanah itu. Mereka berkeluarga, beranak-pinak; dan bermasyarakat. Dengan bertambahnya bilangan, bertambah jugalah ragam. Ingat, anakku, banyak udang banyaklah garam, banyak orang banyak pula ragam. Di situ, anakku, muncul aneka kebolehan. Ada yang memilih diri untuk dikenali sebagai ketua. Muncullah ketua adat. Orang begini mudah dan fasih menyebut hal ehwal peraturan kehidupan. Selalunya, tidak cukup seorang begitu kerana sudah ramai. Dek kerana ramai, anakku, antara ketua adat itu, ada yang melebihi daripada yang lain. Kelebihannya lebih pada keberanian. Orang begini biasanya berani bersebab. Yang jelas, kerana berilmu. Atau, setidak-tidaknya, pernah berguru.

Keberanian yang lain, anakku, kerana tabiat buruk. Ada manusia yang suka menunjuk-nunjuk. Manusia jenis ini berhati kosong. Benar-benar kosong. Mereka tidak boleh hidup sendirian. Jika tinggal seorang diri di dalam gua sehari pun, mereka boleh menjadi gila. Lebih daripada seminggu, manusia jenis ini tentu sudah tidak bernyawa lagi. Mereka tidak sekuat haiwan. Atau, tidak secekal serangga atau mergastua. Ataupun, burung-burung.

Anakku, tanah tadi hidup sifatnya. Di sisi agama kita, Islam, tanah itu makhluk. Ertinya, hidup. Tapi, jasadnya dan dunianya tidak sama seperti yang kita alami.

"Kenapa pandanganmu ke arah banjaran bukit itu?"

"Hijau. Indah kan? Bagiku, yang lebih sayup itu lebih indah. Biru berbalam-balam. Apalagi puncaknya, sentiasa berkabus. Nampak lebih mesra. Di situ kita tahu, gunung-ganang atau bukit-bukau bersahabat baik dengan kabus. Udara di situ nyaman. Persekitarannya indah. Boleh kita ibaratkan tempat itu sebagai tanah tempat berhimpunnya taman-taman. Ya, indah. Dulu, anakku, sewaktu bapamu ini masih seusiamu sekarang, sudah kudaki beberapa bukit.

Waktu kanak-kanak, banyak kudengar cerita dongeng. Anggun Cik Tunggal daki gunung dalam hutan. Awang Sulung Merah Muda juga pernah daki gunung. Khabarnya, raja dan permaisuri Melayu purba memiliki tabiat membuang bayi. Mereka buang dalam hutan. Ada yang hidup. Dan, ada juga yang mati. Yang hidup, jadi gagah perkasa. Ada yang menjadi raja. Ada yang berpeluang menyerang bapa mereka sendiri. Ada bapa yang dibunuh. Ada juga yang ditawan. Dan, ada juga yang terselamat. Itupun setelah rahsia lama terbongkar.

Mengapa semakin lama, semakin berubah tanah di sini, anakku? Lihat pasir ini. Ini pasir pantai. Bercampur-campur. Kerikil, debu, dan warnanya pun berbeza. Berbeza juga bentuk, saiz, dan beratnya. Perhatikan betul-betul. Dan jangan lupa, tanya. Soalan pertama, perlu tanya begini - apa puncanya tanah-tanah ini kembali bercerai? Tentu ada sebabnya.

Soalan kedua perlu tanya begini - Apakah perasaan tanah atau pasir itu sampai bercerai-cerai? Siapakah yang bersalah? Manusiakah? Ketua manusia itukah, atau tanah berpakat sesama sendiri?

Anakku, usia kita tidaklah panjang. Tidak panjang. Seperkara lagi, hidup di atas tanah ini tidak kekal. Juga perlu ingat, Tuhan tidak hantar kita ke sini secara percuma.

Setiap orang ada tugas. Pada mulanya kita dimestikan belajar. Kita belajar menggunakan akal. Kita sesuaikan organ dalam tubuh supaya selaras. Akal kita selaraskan dengan hati. Kita selaraskan mata. Paling banyak, kita gunakan darah, oksigen, mata, dan mulut. Kesemuanya kita selaraskan agar kita berjaya menyimpan maklumat atau ilmu tentang Allah.

Anakku, sebahagian besar manusia yang belajar pada waktu kecil tidak mendapat ilmu yang lengkap tentang Allah. Jadi, banyak yang melihat dengan mata. Mereka melihat benda di sekeliling mereka. Ada yang bergerak. Ada yang kaku. Dengan telinga, mereka terus mengutip ilmu. Dan, jarang pula yang berjaya melengkapkan diri tentang ilmu Allah. Yang begini terus belajar. Yang sudah lengkap terus tenteram jiwanya. Mereka tenang.

Orang yang tenteram jiwanya terpancar menerusi mata putih dan bola mata. Jernih dan cerah. Air muka mereka bercahaya-cahaya. Wajah mereka bersih. Biasanya mereka pendiam. Mereka berkata-kata apabila perlu sahaja. Sebaik sahaja berkata-kata, orang lain akan sedar. Suara orang begini terus muncul dari hati.

Anakku, itulah sebaik-baik suara. Suara hati yang dijelmakan. Suara hati yang diberi bunyi. Suara hati tidak terpengaruh dengan sebarang perkara. Suara hati juga tidak takut sesiapa. Dan, anakku, suara hati itulah suara pemimpin. Jika dikaji sifatnya, nilai kepemimpinan ketara di dalamnya. Suara hati itu ibarat terisi dalam peti kristal. Jika diterbitkan, cahayanya boleh menyilaukan mata malaikat jika kumpulan makhluk itu bermata seperti manusia.

Suara hati amat ditakuti syaitan, iblis, dan jin. Dek kerana ada manusia sudi bekerjasama dengan kumpulan makhluk perosak itu, wujud juga manusia yang takut pada suara hati. Dengan sebab itu, kumpulan ini mendahului kumpulan manusia yang dipercayai berkeupayaan mengeluarkan sesekali suara hati. Mereka mahu memusnahkan suara hati. Jalan paling keji mereka pilih, anakku. Mereka membunuh. Mereka berusaha memisahkan nyawa dengan jasad. Mereka halakan sasaran kepada sesiapa sahaja yang memiliki suara hati. Dan, pemusnahan didahulukan kepada kumpulan manusia yang lebih berkeupayaan mengeluarkan suara hati.

Anakku, semaklah catatan-catatan dahulu. Kita akan temui kisah seorang budak di Singapura yang bernama Hang Nadim. Tahu sejarahnya? Kisahnya bukan dongeng. Sebahagian manusia yang kusebut tadi iaitu yang bekerjasama dengan Azzazil, syaitan, iblis, dan jin berusaha untuk menghapuskan manusia yang berupaya berkata-kata benar. Tahu apa usaha mereka? Mereka menyebutkan dongeng. Mereka namakan kisah ini kiasan. Atau, apa jua usaha asalkan kisah Hang Nadim dilupakan sedikit demi sedikit. Atau, jika diingati pun, cukup sekadar menyebut kanak-kanak itu lebih cerdik daripada Seri Maharaja dan semua menteri serta para panglima ataupun para imam.

"Lagi, anakku? Kusebut nama Tun Jana Khatib. Tahu siapa insan ini? Dia hidup seabad dengan Hang Nadim. Catatan dahulu tentera kisah ulama yang menuntut ilmu di Mekah bersama-sama Tuan Bungoran. Darahnya Melayu. Sifatnya perantauan. Sesudah bertahun-tahun berada di Tanah Arab, mereka merantau ke beberapa tempat di Eropah. Sesudah didapati mereka tidak begitu sesuai di sana, mereka pulang ke alam sebangsa, Melayu. Mereka ke Singapura. Beberapa lama di Singapura, terjadilah peristiwa dakwah. Cerdiknya permaisuri, jauh mendahului Seri Maharaja mempelajari ilmu tentang Allah. Mahu terjadi tragedi, Tun Jana Khatib yang menganjurkan cara mengeluarkan suara hati ditangkap sekumpulan iblis berlembaga manusia. Lalu, ketuanya bayang-bayang Azzazil menitahkan Tun Jana ditikam dengan keris. Tembuslah dada Tun Jana dan menitiklah darah ke bumi. Tahu apa yang terjadi seterusnya, anakku? Hilanglah lagi manusia yang berupaya mengeluarkan suara hati di bumi Melayu itu.

Perhatikan. Nasib manusia jadi kelam-kabut dan punah-ranah. Puncanya kenapa? Puncanya kerana manusia yang berupaya mengeluarkan suara hati dimusnahkan. Kita perhatikan di rantau lain. Kita pasti terbaca tentang kisah Kung-fu-Tze, Li Po, dan Tao. Beribu buah buku dan murid mereka dibakar. Siapa yang menitahkan kerja-kerja keji itu? Juga si bayang-bayang Azzazil, Shih Huang Ti. Sama seperti Seri Maharaja, Huang Ti juga musnah. Khabarnya, sewaktu nyawa mereka mahu dipisahkan daripada jasad, sakitnya sama dengan himpunan sakit satu bilion manusia lain yang derhaka pada ibu bapa.

Anakku, takutkah untuk jadi manusia pemilik suara hati?

Bagus, anakku. Jiwamu tenteram dan hatimu tenang. Dengan demikian, suaramu, suara berani kerana akalmu menerima kenyataan berani kerana benar dan takut berbuat salah. Jika demikian, kulanjutkan lagi ceritaku. Tahu tentang Syekh Hamzah Fansuri? Syekh Shamsuddin al-Sumaterani? Atau, Syekh Rauf al-Singkel? Ataupun Syekh Daud al-Fattani? Mereka lebih dekat dengan tanah Melayu kita ini. Mereka Melayu. Mereka juga berupaya mengeluarkan suara hati. Bukan setakat ketika hidup pada zamannya sahaja. Malah, hingga ke hari ini. Boleh jadi, jika kita yang hidup hari ini berupaya lagi sedar, terus berusaha melanjutkan kajian tentang mereka, tingkah laku dan usaha mereka yang mulia itu boleh hidup hingga tahun masihi 3000.

"Anakku, Syekh Hamzah menulis Syair Perahu, Syair Burung Pingai, dan banyak lagi buku kepemimpinan. Bagiku, jauh lebih bermutu daripada buku-buku Machiavelli, ataupun Edward de Bono. Sudah kubaca banyak buku-buku mereka. Satu antara dua kupilih untuk menentukan nilainya. Tahukan, anakku. Kusaring teliti untuk kutentukan mana satu yang ditulis terus dari hati, itulah yang kuterima. Walaupun tidak kesemua baris dalam Syair Burung Pingai atau Syair Perahu terbit daripada hati, tapi kebanyakan perkataan yang digunakan memang terbukti terbit daripada hati.

Usah hairanlah anakku. Sesiapa antara kita tidak berpeluang walau sekali dalam hidupnya membaca catatan suara hati, hati pasti mati.

Takutlah pada amaran itu, anakku. Usahakanlah akalmu pada ketakutan itu. Kerana dengan kesedaran itu, usahamu berganda.

Jika hati mati, akal jadi tumpul. Suara jadi sia-sia. Kelak jasad sakit. Darah keracunan dan nasib sentiasa malang. Malang kerana tiada lagi cahaya dalam jasad. Jika ada pun cahaya, cahaya matahari yang memancar, tentu perit. Jika ada cahaya, samar. Cahaya bulan pun tidak sudi singgah pada kulit jasad. Lihat sajalah orang di sekeliling. Kita boleh kenal mana satu yang sudah hilang cahaya. Yang jasad mereka sonder cahaya syurga.

Malang menjadi orang begini. Mereka ada mulut. Tapi, suaranya penuh pura-pura. Mereka ada mata. Tapi, kelabu. Perhatikan, tanda-tanda pada muka mereka. Ada yang lebam. Ada yang pucat. Ada yang sembab. Dan, tidak kurang yang sudah mati. Malah, sudah lama mati. Ertinya, mereka pinjam muka mayat. Tanda-tanda manusia yang begini mudah dikesan. Perhatikan dahi. Dahi adalah tempat terakhir singgahan nyawa. Setiap nyawa keluar dari jasad ikut permukaan dahi. Dahi mereka tidak bercahaya. Dan disebabkan mereka meminjam muka mayat, tiba waktu maut nanti, sakitnya bukan kepalang. Selalunya, orang begini menggelepar macam kuda disembelih. Selalunya lidah terjulur. Dan, jasad mereka biasanya berbau amat busuk. Sebusuk seribu jenis nanah yang terhimpun.

Anakku, manusia yang empunya suara hati adalah semua manusia yang bernafas. Perhatikan. Sejak kecil lagi kita sudah diberi peluang untuk mengeluarkan suara hati. Ingat? Cuba ingat semula. Setiap kali mahu makan, ibu bapa bertanya - mahu makan? Makan apa?

Ibu bapa yang bijaksana sering melatih anak-anak supaya menggunakan suara hati setiap kali untuk membuat keputusan. Keputusan yang berkait dengan masa, tempat, benda, dan kerja.

Tanpa lanjutan, proses itu jadi sia-sia. Tergantung. Pada hal apabila disuruh bersolat, terang-terang ibu bapa melatih anak-anak supaya menggunakan seluruh masa solat untuk merapatkan diri dengan suara hati. Kerana itulah, sesetengah ibu bapa menganjurkan agar bacaan dalam solat itu disempurnakan dalam keadaan lidah digulungkan ke lelangit. Dengan cara itu, setiap kali selesai solat, terbukti, kita terasa segar yang amat sangat.

"Memang. Memang jarang orang yang mempercayai kaedah ini. Apa lagi yang belum mencubanya. Dan, usahlah bersikap sia-sia. Kita sedar betapa kuasa suara hati itu luar biasa sekali agungnya. Jadi, apabila kita berpeluang menikmati kebahagiaan menerusi proses itu, usahlah sekali-kali kita persia-siakannya. Terus dan teruskan sampai bila-bila.
Usahlah khuatir. Hari ini sudah tidak wujud lagi Ramses atau Tutankhamen. Shih Huang Ti atau Seri Maharaja. Mereka sudah lama lebur dalam api di pusara. Tahukan? Mereka menggelegak bersama-sama dengan batu-batu yang cair. Setiap saat jasad mereka bercantum, sesaat kemudian berkecai semula.

Hari ini sudah tiada lagi sekumpulan penduduk yang menyeksa Joan of Arc. Atau, Rasputin, penyihir Czar dan Czarina di Russia. Juga mereka sudah lama maut. Hari ini sudah tiada lagi ketua-ketua penzalim manusia. Walaupun Azzazil masih wujud dengan segala anak buahnya, usah khuatir. Walaupun masih kian ramai manusia yang menjadi hamba syaitan, iblis dan jin, juga usah bimbang. Hari ini, hari yang terang. Kita hidup selepas zaman nabi Muhammad, bererti di bumi mana pun kita bebas beribadat. Bukankah mudah beribadat jika kita rapat dengan suara hati?

Anakku, kerana senjata kita yang paling berpengaruh itu solat, pertajamkanlah setiap hari. Jika diibaratkan solat itu sundang, mesti berkilat. Jika diibaratkan solat itu istinggar, mesti diminyaki sentiasa. Larasnya biar ringan seringan kapas. Dan anakku, dosa atau kesilapan yang paling parah, tahu `kan? Jangan sekali-kali kamu olok-olokkan solat. Juga jangan sekali-kali menunjuk-nunjuk perbuatan solat itu.

"Solat itu ibarat makan. Jika makan biasa untuk jasad. Nah, solat itu makanan hati. Sesungguhnya, anakku, sempena hari ini, amat bahagia kurasa jika kunamakan solat itu juga makanan akal. Ertinya, anakku, setiap kali kita dirikan solat, akal kita bertambah maklumat. Dan, perlu kita ketahui, setiap bacaan itu mesti dilunasi dengan suara hati.

Dan, anakku, solat bukan setakat boleh diibaratkan dengan senjata. Malah, tanah, bumi, dunia, alam atau negara. Itulah tanah kita yang kekal abadi. Dengannya, jika kita hamparkan, akan melebar ia. Nanti, luaslah apa yang diidam-idamkan. Sempit tanah sebenar, akan jadi lapang kerananya.

Anakku, matahari siang hari jadi saksi tiga solat yang nyata. Dan bulan bersama bintang jadi saksi dua atau tiga solat yang waktu malam. Jika diibaratkan malam dan siang itu orang yang bertugas sebagai pelawat mahupun penyelia yang menyediakan laporan untuk diberikan kepada malaikat Khatiman dan Khatibin, siapalah kita nanti? Kita tidak sudi memilih diri untuk jadi dayus. Atau, pemalas. Atau, si culas. Atau, yang tidak berterima kasih. Yang dengan Tuhan sendiri pun mereka engkar, pada hal Tuhan menetapkan solat itu tiang agama atau sendiri nyawa.

Anakku, perhatikan di tanah kita ini. Orang yang mungkir janji dengan manusia lain, biasanya bermula dengan mungkir dengan Tuhan. Tuhan mempelawa waktu Asar untuk ketemu, mereka mungkir. Orang yang biasa menipu manusia lain biasanya cuba menipu malaikat. Malaikat mahu mengiringi mereka untuk bertemu Tuhan pada waktu Maghrib, mereka tipu".

"Tuhan tetap sempurna sampai bila-bila, anakku. Malaikat tegas. Makhluk paling tegas. Dan, selalunya sebahagian manusia mudah mencari alasan. Mereka dakwa diri mereka lemah. Mereka dakwa Tuhan akan ampunkan dosa jika mereka abaikan solat. Disebabkan terlalu percaya pada kelemahan diri, mereka gagal menjadi usahawan yang kaya harta sendiri. Sebaliknya, berjaya mengukuhkan bank saudagar dengan bayaran faedah pinjaman. Mereka berjaya jadi ahli politik yang sihat jasad, tak hilang rasa pada jiwa dan hati. Mereka jadi raja yang tidur dalam mahligai berkota tapi saban malam bermimpi api neraka.

Anakku, selamatlah dirimu. Yakinlah kita ketemu Rasulullah di Yaumil Mahsyar nanti. Hari dan saat pasti tiba. Waktu kebangkitan nanti, anakku. Di sebalik suara hatiku, terpancar gambaran. Saat itu nanti, setiap kubur terbuka. Dan isinya, bangkit. Ada yang berkepala babi. Ada yang berkepala anjing. Ada yang berkepala penuh ular. Ada yang berkepala penuh darah dan nanah hanyir. Ada yang robek matanya. Ada yang tersoyak mulutnya, menitik-nitik air nanah dari mulut. Ada yang sibuk tangkas memamah daging sendiri. Ada yang meronta-ronta. Begitu ramai yang ketakutan amat sangat. Begitu ramai yang menjerit. Begitu ramai yang terlari-lari. Alam gelap suram. Luas lagi lapang. Di celah-celah bilion manusia itu, tetap ada manusia berjubah putih. Bercahaya. Cara mereka berjalan bagaikan terapung. Melayang ke hadapan. Nun di hadapan. Rabbul-jalil. Hakim Yang Maha Adil. Bercahaya. Memancar-mancar ke seluruh alam. Terang-benderang, anakku."

Burung Camar hinggap di jejari
Seorang nelayan sedang bermimpi
Mimpi tentang duyung
Mimpi tentang untung
Biduk hanyut dibawa ombak
Laut Cina Selatan

Dalam mimpi berkata sang duyung
"Wahai nelayan kau anak laut
Di sini tempatmu
Di sini rezekimu
Pengorbanan yang kau lakukan
Ada balasannya"

Mega mendong
Laut pun bergoncang
Nelayan tersentak biduk sesat haluan
Sang mentari terlindung
Pantai tak kelihatan
Tawakkal jalan akhirnya

Dalam pondok kecil beratap rumbia
Seorang ibu memandang hari muka
Sambil ia menyusukan bayi yang kehausan
Ufuk timur hilang dari pandangan

Wahai anak yang sedang menangis
Mungkin kini engkau tak mengerti
Bila kau dewasa dan pandai nanti

Pengorbanan ayahmu sayang
Jangan kau lupakan…

PaPa

0 comments: