- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Monday, June 21, 2010

Seikat Kembang Merah

Salam seharum kembang merah
buat pembaca JS yang budiman,

Kak Nila mengambil kesempatan ini untuk mengajak warga Kelantan (dan Terengganu) untuk sama-sama memeriahkan Pesta Buku Islam Kelantan 2010 yang akan berlangsung Jumaat ini, di Balai Islam Lundang, Kota Bharu.

Sila lawat www.jemariseni.com untuk melihat maklumat lanjut mengenai pesta buku kali ini.

Sungguhpun skuad JS tidak turun semuanya, tetapi mereka tetap mengirim salam buat pembaca JS di Negeri Serendah Sekebun Bunga ini. Para penulis yang tidak dapat hadir pula, mengirim tanda mata mereka yakni ‘buku’ sebagai oleh-oleh wajib beli ahaks... untuk disandingkan di rak buku yang masih kosong tu tau. Paling-paling pun buat pembaca yang ingin melengkapkan koleksi JS mereka... inilah masanya untuk membeli-belah dengan harga bonus, kan!

Kak Nila bersuara lagi, sekadar untuk memperkenalkan buku bulan Jun seperti yang dijanjikan. Buku awal bulan, Melur Bunga Ivy karya Nazurah Aishah (kini sudah di pasaran). Dan buku akhir bulan, Seikat Kembang Merah, karya Imaen. Kedua-dua buku ini ada di Pesta Buku Islam Antarabangsa Kelantan nanti, bergandingan dengan buku-buku lain sejak JS mula beroperasi lagi.

Buku-buku bulan ini wangi-wangi belaka, sebab tajuknya tentang bunga. Harganya lebih rendah, hanya RM16 (harga sebenar RM20) senaskhah.

Oh ya, buku Seikat Kembang Merah memang sengaja JS terbitkan bulan ini bersesuaian dengan pengarangnya ini lahir di Kota Bharu mengikut surat beranaknya. Apatah lagi lima tahun pertama dalam usia kanak-kanaknya dihabiskan di Lundang. Jadi bagaikan sirih awe pulang ke gangganglah ni, Encik Imaen. Macam serba tak kena aja peribahasa Kak Nila ni.

seikat_kembang_merah

Lalu siapakah harus dipilih kalau di sana cantik di sini menawan?
Ketika aku melangkah keluar, ada yang tertinggal di sini; angan-angan, harapan dan seluruh hati. Sebagai gantinya aku membawa bersama wajahnya, dan rindu padanya – Nur Tahani gadis bertudung labuh.
Aku memang telah jatuh cinta pada dia. ‘Bidadari’, versi dunia atau akhirat seperti dia hanya layak digandingkan dengan orang beriman.
Bagaimana mungkin perempuan cantik, berprofil tinggi dan terlahir dalam gedung Gucci seperti Nina mahukan aku? Dia hanya layak bersanding dengan lelaki kategori ‘arreviste-hooray henry’. Sedangkan aku hanya lelaki terbuang. Kelas kambing! Paria! Dalit!
Benarkah, kalaulah cantik itu pintu kepada cinta, setiap lelaki kena bertapa dalam gua dan jalan pejam mata?
Lalu aku melambung dadu terakhir. Kalau aku kalah sekalipun, aku sudah tiada apa-apa lagi untuk rugi. Sama ada aku lambung atau tidak dadu itu, aku tetap merana; merindukannya separuh mati dan mencintainya seumur hidup.
* * * *

Terimalah Seikat Kembang Merah daripada IMAEN; yang tetap menulis novel action-romantic, tetapi kali ini nadanya berbeza.
Harga pembelian melalui pos: RM18 (pos percuma dalam Malaysia)

Kali ini Kak Nila tidak perlu cakap banyak-banyak, sebab Saudara Imaen akan menulis sendiri tentang novelnya kali ini.

Kata Imaen, dia tak reti menulis dengan teknik-teknik yang digunakan oleh para sasterawan. Satu-satunya kursus menulis yang dia pernah ikuti ialah kursus yang hanya beberapa jam (separuh hari) ketika di Institut Perguruan Sultan Idris dulu bersama dengan arwah Dr Othman Putih. Itu pun kerana pihak maktab mengambil kedatangan dan ketidakhadiran akan memberi masalah kepada para pelatih KPLI waktu itu. Kursus itu pula hanya kursus asas yang tidak mendedahkan peserta dengan teknik-teknik menulis.

Kata Imaen lagi, kali pertama dia dengar teknik menulis stream of consciousness pun setelah membaca perbincangan antara Saudara Aidil Khalid dan Saudara Pingu Toha dalam status Facebook Saudara Aidil Khalid. Sebelum itu dia ingat stream of consciousness itu satu tajuk dalam pelajaran Psikologi. Dia tak pandai nak menulis metafiction. Dia tak mahir bagaimana memasukkan unsur suspens dalam penceritaan. Dia tak reti menggunakan teknik flashforward. Bahkan dia hanya tahu menulis dengan satu cara saja; menulis dalam acuannya.

Tapi katanya, mungkin kerana mahu menjadi penulis versatile, dia gatal-gatal tangan mahu bereksperimen dengan menulis novel cinta. Tak sampai sekerat jalan, dia sudah tak tahu nak tulis apa. Dia dilanda rintangan pengarang (writer’s block) atau ‘buntulis’ mengikut Saudara Pingu Toha. Berbulan-bulan juga Imaen tak sentuh manuskripnya. Hingga akhirnya dia tahu dia hanya tahu menulis dengan satu teknik sahaja – menulis apa yang ada dalam hatinya. Lalu dia terus memutuskan untuk kembali jadi dia dan menyambung manuskrip itu. Hasil akhirnya ialah sebuah kisah cinta dalam acuan Imaen.

Katanya juga, tulisannya kali ini ada ciri-ciri antisastera dan akan dikutuk oleh para kritikus sekiranya dibincangkan dalam mana-mana bengkel bedah karya.

Okey selamat membeli dan membaca. Nampaknya peminat tegar Imaen sudah boleh tersenyum untuk mendakap erat novel keempat Imaen (tidak termasuk, Vendetta dalam Gurindam Jiwa). Lukisan gaya Monet ‘dikahwinkan’ dengan van Gogh ini cuba diterapkan oleh Saudara Oly dalam lukisan asalnya, dan sampul kulit cerita ini sentuhan Abang Grafik JS – Saudara Helmino.

Ewah, Kak Nila bersaudara-saudarilah pula hari ini!

Yalah, begitulah cara pada sasterawan, dan artis apatah lagi seniman filem zaman dahulu menggelar orang yang dihormati, sesekali kembali ke zaman lama asyiklah juga.

Soalan Kak Nila cuma satu pada Encik Imaen... selepas Labyrinth, Bohemian, Sigaraning, Seikat Kembang Merah, ada novel apa pula Encik Imaen?

Pengarang yang ada banyak judul sudah mula menyenaraikan satu per satu... ops, ops, ops... menyenaraikan sahaja tidak cukup, mesti menulis juga ya.

Salam sayang,
~ Kak Nila ~

___________________________________________________________________
Petikan muka surat 32 ~ 35:

PAGI TADI, seperti dinihari tadi, aku terjaga secara mengejut ketika matahari telah segalah. Jam locengnya ialah Joe yang buka hi-fi sehabis kuat, besnya sampai tembus ke dalam bilik, menusuk gegendang telinga. Lagu entah apa. Tapi tidak seperti dinihari tadi, sebaik terjaga terasa seperti semua pembuluh darah ke kepala mengangkut darah satu badan ke kepala. Berdenyut-denyut seperti mahu pecah.

Mulanya aku ingat sakit kepala itu akan hilang selepas aku mandi. Tapi rupanya sakit itu makin lama makin kuat. Seperti ada pakatan sulit dengan matahari: semakin tinggi matahari, semakin tinggi beat denyut dalam kepala. Seperti bes lagu-lagu dalam disko. Matahari tercacak atas kepala nanti matilah aku!

Ada rasa nak muntah, rasa beralun seperti berada atas motobot dilambung gelombang tengkujuh di Laut China Selatan. Bagai ada tukang besi mengetuk otak dengan merton. Acap kali juga rasa seperti ada kuari batu yang bertubi-tubi diletupkan dinamit dalam kepala. Entah apa silapnya aku tak tahu, nak kata aku ada darah tinggi, tiap-tiap minggu aku bersenam di kelab-kelab malam sekitar ibu kota . Sekali sesi menari dua tiga ribu kalori boleh terbakar. Lagipun baru minggu lepas aku buat pemeriksaan kesihatan untuk memperbaharui lesen Public Service Vehicle (PSV) aku. Pas! Hendak dituduh silap makan, semalam dan pagi tadi aku hanya makan apa-apa yang selalu orang Melayu makan saja; nasi dan lauk-pauk yang orang makan tiap-tiap hari. Aku tak sentuh pun semua masakan eksotik Melayu seperti gulai rebung, sayur lemak pucuk paku, kerabu jantung pisang, gulai nangka atau pengat ubi kayu yang sinonim dengan angin itu.

Nak kata sebab semalam aku mabuk, selalunya bergelas-gelas aku minum pun tiada masalah apa pun. Jangan-jangan semalam Man bin Min silap bancuh sebab asyik mendengar celoteh aku. Cerita kutuk orang, memang sedap didengar, asyik!

Banyak kali aku picit dahi dan ubun-ubun tapi sakit itu tidak mahu hilang. Aku picit pula kedua-dua bahu dan atas tengkuk, kalau-kalau ada urat tersimpul di situ tapi kepala tetap berdenyut. Kemudian aku cuba pula kaedah refleksi, aku picit ibu jari kaki malangnya dua kali tekan dengan ibu jari aku berhenti kerana sakitnya bukan kepalang. Rasa seperti kita mengurut ibu jari kaki dengan belati. Aku cuba baring atas sofa, mengharapkan tidur akan menghanyutkan sakit tapi rasa berdenyut itu menghalang aku daripada lena.

Aku bingkas bangun, berjalan ke dapur, dan membuka peti sejuk. Aku tarik kompartmen sayur dan mengambil sebiji lemon. Mujur juga bekalan lemon, limau gedang dan oren selalu ada kerana aku yang jaga kesihatan ini pernah membaca dalam Internet minum jus sitrus setiap hari boleh mengelakkan jadi gemuk. Lemon itu aku perah ke dalam segelas air suam, tanpa gula. Aku minum jus lemon itu tapi selepas lima minit dinamit dalam kepala kembali meletup. Makin rancak pula tu.

Ini tak boleh jadi, terpaksa cari ActiFast juga. Aku capai kunci kereta. Farmasi paling dekat letaknya tiga blok dari kedai dobi aku. Farmasi ini katanya kepunyaan orang Melayu. Tapi aku tak pernah ke situ. Sebelum ini, kalau sakit demam sikit-sikit dan aku perlukan ubat aku pergi ke farmasi dalam pasar raya. Baru ada kelas beli di syarikat yang ada nama – francais.

Lima minit aku sudah sampai di depan farmasi itu. Seketika, pintu kaca aku tolak, bunyi loceng ‘ada pelanggan datang’ berbunyi. Nyaman udara penyaman udara pula menyerbu muka. Tapi tiada siapa menyambut aku. Suasana dalam farmasi ini lengang seperti hari ini hanya aku seorang saja yang sakit dalam taman perumahan ini. Ini yang aku malas datang ke kedai orang Melayu ni. Letak kaunter dekat pintu masuk, tapi siapa pun tiada di kaunter. Isy... nak berniaga buat cara nak berniagalah.

Aduh! Orang pening kepala ni, aku rompak kang, baru tahu.

“Hoi, tak ada orang ke?” jeritku, keras sambil tangan berkali-kali memicit loceng atas kaunter dekat pintu masuk dan mata memandang keliling.

Tiba-tiba seorang perempuan muda bangun dari belakang rak di hujung dekat dinding belakang. Dia terus berjalan laju ke arah kaunter. Dia memakai cermin mata, berbaju kurung merah jambu dengan motif bunga kecil berwarna putih dan bertudung labuh berwarna krim. Aku memerhati tubuh semampai itu melangkah. Dan entah mengapa perasaanku yang tegang beransur kendur, seperti dia ialah oasis hijau di tengah gurun dan aku ialah pengembara yang sesat. Logamaya?

Wajahnya... aku tidak tahu bagaimana mahu menceritakan tentang wajah yang bagaikan sedang menuturkan serapah memikatku itu. Segala talibun, teromba, rejang, mantera, bayt, seloka, gurindam, rubai, syair, kit’ah, masnawi, ghazal atau nazam pun belum tentu dapat melukiskannya. Dan matanya... aduh, cantik, tajam menembusi perasaanku. Seperti mata unta, sayu dan penuh aura misteri.

0 comments: