- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Showing posts with label Sirah Tokoh. Show all posts
Showing posts with label Sirah Tokoh. Show all posts
Saturday, February 5, 2011

Salahuddin Ayyubi


(Petikan dari Abul Hassan ali Nadawi, Saviors of Islamic Spirit)

Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa (Poole, 1914). Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.

Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi’ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Kadi Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan (Kadi Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu” (Al-Baqarah:216)

Pertukaran Hidup Salahuddin

Apabila Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenagannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Kadi Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara’ dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup senang dan memilih corak hidup “Spartan” yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Semangat Jihadnya

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Kadi Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.

Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumoukan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya. Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Kadi Bahauddin, 1234)

Peperangan Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembasar lain yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bawaha dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya. Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, “Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammat atasnya”. Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah.

Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, “Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi”.

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad. Kadi Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, “Mintalah kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu”. Apabila ia mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Kadi Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.

Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit. Dalam catatan Kadi Bahauddin ia menyatakan inilah kemengan atas kemengang. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-prang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan. Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.

Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, “Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula”. Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa mengidar bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu ‘tersumbat’ dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang Salib Ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M, keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Wafatnya Salahuddin

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja’afar seorang yang wara’ telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur’an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur’an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, “Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata” (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, “Memang benar”. Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara’

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh Rasulullah saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan. Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihatkannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, “Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku”. Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi tetapi ditakdirkan.
Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur’an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur’an para pengawal yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzu’ semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya. Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendegarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya. Ia juga sangat berpegang teguh kepada rukun iman hinggakan ia telah mengarahkan anaknya al-Malik al-Zahir membunuh Suhrawady yang membawa ajaran sesat.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapannya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, “Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabiskan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat. Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawanya, “Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak”. Bila hampis subuh akupun bangun dan pergi mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. “Aku tidak tidur semalam” katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, “Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya”. Lalu ia bertanya, “Apa yang perlu ku lakukan?”

Aku menjawab, “Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi’raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajadlah kepada Allah dengan ucapan
“Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku.
Kini aku mohon pertolongan-Mu.
Aku menyerahkan diriku kepada-Mu.
Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam keadaan yang genting ini”

Aku mengatakan kepadanya, “Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu”. Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari Isnin pagi”

Perangai Salahuddin

Siapa yang rapat dengannya mengatakan ia adalah seorang Islam yang taat kepada Allah, sangat peka kepada keadilan, pemurah, lembut hati, sabar dan tekun. Bahauddin bin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan ia telah memberikan masa untuk rakyat dua kali seminggu, iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Pada masa ini ia disertai oleh pembesar-pembesar negara, ulama dan kadi. Semua orang boleh berjumpa dengannya. Ia sendiri akan membacakan aduan yang diterimanya dan mengucapkan untuk dituliskan oleh juru tulis tindakan yang perlu diambil dan terus ditandatanganinya pada masa itu juga. Ia tidak pernah membenarkan orang meninggalkannya selagi ia belum menyempurnakan hajat orang itu. Dalam masa yang sama ia sentiasa bertasbih kepada Allah.

Jika ada orang membuat aduan, ia akan mendegarkan dengan teliti dan kemudian memberikan keputusannya. Sauatu hari seorang lelaki telah membuat aduan berkenaan Taqiuddin, anak saudaranya sendiri. Dengan segera ia memanggil anak saudaranya itu dan meminta penjelasan. Dalam ketika yang lain ada orang yang membuat tuduhan kepada Salahuddin sendiri. Yang memerlukan penyiasatan. Walaupun tuduhan orang itu didapati tidak berasas, ia telah menghadiahkan orang itu sehelai jubah dan beberapa pemberian yang lain.

Ia adalah seorang yang mulia dan baik hati, lemah lembut, penyabar dan sangat benci kepada ketidak adilan. Ia sentiasa mengabaikan kesilapan-kesilapan pembantu-pembantu dan khadam-khadamnya. Jika mereka melakukan kesilapan yang memanaskan hatinya, ia tidak pernah menyebabkan kemarahannya menjatuhkan air muka mereka. Pada suatu ketika ia pernah meminta air minum, tetapi entah apa sebabnya air itu tidak diberikan kepadanya. Ia meminta sehingga lima kali lalu berkata, “Aku hampir mati kehausan”. Ia kemudian meminum air yang dibawakan kepadanya tanpa menunjukkan kemarahan. Dalam ketika yang lain ia hendak mandi selepas mengalami sakit yang agak lama. Didapatinya air yang disediakan agak panas, lalu ia meminta air sejuk. Sebanyak dua kali khadamnya menyebabkan air sejuk terpercik kepadanya. Disebabkan ia belum benar-benar sihat, ia merasa kesejukan tetapi ia hanya berkata kepada khadamnya, “Cakap sajalah kalau kau tak suka kepadaku”. Lalu khadam itu cepat-cepat minta maaf dan Salahuddin terus memaafkannya.

Bahauddin juga telah mencatatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan sifat pemurah dan baik hati Salahuddin. Kadang-kadang kawasan yang baru ditawannya pun diberikannya kepada pengikutnya. Satu ketika ia telah berjaya menawan bandar ‘Amad. Lalu seorang perwira tentera, Qurrah Arslan, menyatakan keinginannya untuk memerintah bandar itu. Dengan senang hati ia memberikannya. Bahkan dalam beberapa ketika ia menjualkan hartanya semata-mata untuk membeli hadiah. Melihat betapa pemurahnya Salahuddin, bendaharinya selalu merahsiakan baki wang simpanan untuk digunakan semasa kecemasan. Jika ia tahu, ia akan menyedekahkan khazanah negara sehingga habis. Salahuddin pernah mengatakan ada orang baginya wang dan debu sama sahaja. “Aku tahu”, kata Bahauddin, “Ia mengatakan dirinya”.

Salahuddin tidak pernah membiarkan tetamunya meninggalkannya tanpa hadiah atau sebarang bentuk pemberian tanda penghargaan, walaupun tamunya itu seorang kafir. Raja Saida pernah melawat Salahuddin dan ia menyambutnya dengan tangat terbuka, melayannya dengan hormat dan mengambil kesempatan menerangkan Islam. Bahkan Salahuddin sentiasa mengirimkan ais dan buah-buahan kepada Richard the Lion, musuh ketatnya, ketika Raja inggeris itu sakit.

Hatinya memang sangat lembut hingga ia sangat mudah terkesan apabila melihat orang dalam kesusahan dan kesedihan. Suatu hari seorang perempuan Kristian datang mengadu kehilangan bayinya. Perempuan itu menangis dan meraung di depan Salahuddin sambil menceritakan bayinya dicuri dari khemahnya. Perempuan itu seterusnya mengatakan ia telah dimaklumkan hanya Salahuddin sahaja yang boleh mendapatkan bayi itu kembali. Hatinya tersentuh mendengar cerita perempuan itu lalu iapun turut menangis. Ia segera memerintahkan pegawai-pegawainya mencari bayi itu di pasar hamba-sahaya. Tidak lama kemudian bayi itu telah dapat dibawa kembali lalu dengan rasa gembira mendoakan kesejahteraan Salahuddin.

Bahauddin juga mencatatkan Salahuddin sangat kasihan belas kepada anak-anak yatim. Bila ia terjumpa anak-anak yatim ia akan menguruskan supaya ada orang menjadi penjaga anak itu. Kadang-kadang ia sendiri yang akan menjaga dan membesarkan anak yatim yang ditemuinya. Ia juga sangat kasihan melihat orang tua atau yang kurang upaya dan akan memberikan penjagaan yang khas kepada mereka apabila ia bertemu dengan orang sedemikian.

Kesungguhan dan Semangat

Ketika mengepung bandar Acre, Bahauddin mencatatkan bahawa Salahuddin mengidap sakit kuat yang mengebabkan beliau sangat susah untuk bangun. Meskipun demikian, ia keluar menunggang kudanya untuk memeriksa angkatan tenteranya. Bahauddin bertanya kepadanya bagaimana ia boleh menahan sakitnya. Maka Salahuddin menjawab, “Penyakit akan peninggalkanku apabila kamu menunggang kuda”.

Dalam ketika yang lain ia sebenarnya dalam keadaan yang lemah akibat sakit tetapi pergi memburu musuh sepanjang malam. “Apabila ia sakit”, kata Bahauddin, “Aku dan doktor akan bersamanya sepanjang malam. Ia tidak dapat tidur akibat menahan sakit, tetapi apabila pagi menjelang, ia akan menunggang kuda untuk melawan musuh. Ia menghantar anak-anaknya ke medan perang sebelum memerintahkan orang lain berbuat demikian. Aku dan doktornya bersamanya sepanjang hari menunggang kuda sehinggalah musuh berundur apabila senja menjelang. Ia hanya akan kembali ke khemah selepas memberikan arahan untuk kawalan keselamatan pada waktu malam”.

Dalam kesungguhan, semangat dan ketahanan rasanya tiada siapa yang boleh menandingi Salahuddin. Kadang-kadang ia sediri pergi ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama perisik-perisiknya sekali bahkan dua kali sehari. Ketika berperang ia sendiri akan pergi merempun celah-celah tentera musuh yang sedang mara. Ia sentiasa mengadakan pemeriksaan ke atas setiap tenteranya dan memberikan arahan kepada panglima-panglima tenteranya. Bahauddin ada mencatatkan satu kisah yang menunjukkan betama beraninya Salahuddin. Salahuddin diberitahu bahawa ia selalu mendengar bacaan hadis pada masa lapang bukannya ketika perang. Apabila mendengar perakara ini ia segera mengarahkan supaya hadis-hadis dibacakan kepadanya ketiak peperangan sedang berkecamuk dengan sengitnya.

Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam bebeerapa ketika, tentera Salib berjumah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah ia menang, membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat pada satu petang. Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kelam kabut. Tentera musuh telah merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khamah Salahuddin dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya mengatur tenteranya kembali sehingga ia berjaya membalikkan kekalahan menjadi kemenangan. Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan lebih kurang 7,000 mayat-mayat.

Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya cita-cita Salahuddin. Suati hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, “Aku hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku ini kepada anak-anakku, ku berikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang kafir di atas muka bumi atau jika ajalku sampai”.

Salahuddin sebagai ulama

Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang kukuh. Ia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat mereka. Bahkan ia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun ia sebenarnya orang Kurd. Ia sangat gemar mengumpulkan pengeatahuan dan maklumat dari kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke satu penjuru negerinya. Di samping Qur’an ia juga banyak menghafal syair-syair Arab.

Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Qur’an

Rujukan:

Kadi Bahauddin bin Shaddad. 1234M,632H. Al-Nawadir-I-Sultania: Sirat Salahuddin (Bin Nawadir-I-Sultania). Mesir (diterbitkan 1317h):31, 32-33, 7,155

Poole S. L. 1914. Saladin. New York: 72, 99
Read More ...
Friday, May 28, 2010

Kisah Muhammad bin Wasi'

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk 'La Tahzan' telah menukilkan satu kisah tauladan yang cukup menggugat jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi'. Muhammad bin Wasi' terkenal sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.

Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi' di hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan panglima-panglimanya, 'Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam.Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada seseorang maka dia akan menolaknya?' Mereka menjawab:'Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.' Qutaibah berkata ;'Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua.'

Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin Wasi' untuk menghadapnya. Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad bin Wasi' terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata. Qutaibah tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya. Qutaibah memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi' selepas beliau keluar dari majlis itu.

Muhammad bin Wasi' membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut. Berita ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi' kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di sekelilingnya; 'Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan tanah?'


Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah dengan kalimah dan beristighfar [memohon ampun] dan bertasbih kepada Allah. Ternyata Muhammad bin Wasi' adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.

Nabi saw telah bersabda,'Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing atau seorang musafir di dunia ini.'[Riwayat Bukhari dan Ahmad] Kita mungkin akan dilihat pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang sedikit dan menumpukan perhatian kepada akhirat akan menyebabkan kita kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia lain yang sibuk mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana menolak kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah, bahawa kita adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.
Read More ...

Umayiduddin Al-Aqami Dan Tersungkurnya Abbasiyyah

Jika kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah didalangi Mustafa Kemal, kejatuhan kerajaan Abbasiyyah pula didalangi oleh lelaki ini.


Siapakah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami? Beliau ialah menteri berbangsa Parsi yang berkhidmat untuk khalifah terakhir kerajaan Abbasiyyah, iaitu Khalifah Al-Musta’shim Billah. Beliau ditugaskan menguruskan perbendaharaan negara, umpamanya menguruskan baitulmal, zakat, dan menggaji tentera.

Suatu ketika, berlaku pembunuhan ketua tentera yang bernama Hurnain. Dalam memilih bakal pengganti ketua tentera tersebut, berlaku perbalahan antara menteri-menteri yang berbangsa Turki, Parsi dan Arab. Masing-masing berkeras mahu melantik pengganti dari kalangan kaum yang diwakili mereka. Bagi mengelakkan persengketaan daripada berlarutan, maka Khalifah telah melantik rakan kepada puteranya, iaitu Rukunuddin Ad-Daudar sebagai ketua tentera yang baru.

Rukunuddin Ad-Daudar seorang Arab yang membenci golongan Syiah. Dalam empayar Abbasiyyah, golongan Syiah kebanyakannya berbangsa Parsi. Ketika berlaku rusuhan kaum antara Syiah dan Sunni di Kirkuk, dia telah mengarahkan tentera kerajaan membunuh golongan Syiah. Tentera beliau bukan sahaja membunuh orang-orang Syiah, bahkan merampas harta benda mereka serta melakukan perkosaan ke atas perempuan-perempuan mereka. Apabila berita pembunuhan beramai-ramai golongan Syiah sampai ke telinga Umayiduddin Muhammad Al-Aqami yang merupakan menteri berbangsa Parsi, beliau berasa amat marah lalu mengadukan perkara tersebut kepada khalifah. Namun khalifah menegaskan bahawa pembunuhan itu wajar dilakukan demi menjaga keamanan negara, tanpa menyedari bahawa pembunuhan itu turut melibatkan pembunuhan orang-orang yang tidak berdosa dan perkosaan ke atas kaum wanita.

Meskipun Umayiduddin memiliki bukti, namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan khalifah terlalu meyakini bahawa Rukunuddin menjalankan tugas tersebut semata-mata demi menyelamatkan negara daripada pemberontakan. Atas rasa tidak puas hati dan dikuasai oleh dendam yang membara, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami merancang mahu menjatuhkan khalifah. Beliau pada mulanya bercadang untuk membina pakatan dengan kerajaan Parsi, namun utusan yang dihantar olehnya telah ditahan oleh tentera Monggol dan suratnya kepada kerajaan Parsi telah dirampas oleh mereka. Demi mengelakkan surat tersebut diserahkan oleh orang Monggol kepada khalifah dan seterusnya menyebabkan rancangan belotnya terbongkar, maka dia beralih arah dan bercadang berpakat dengan tentera Monggol. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tentera Monggol sememangnya sedang menanti masa untuk menakluk kota Baghdad. Pada masa itu tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan sedang berkhemah dan melakukan latihan perang di pinggir kota Baghdad. Setelah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami berpakat dengan tentera Monggol, maka bermulalah episod pengkhianatannya terhadap Khalifah Al-Musta’shim.

Umayiduddin Muhammad Al-Aqami telah menipu Khalifah dengan mengatakan bahawa perbendaharaan negara tidak cukup untuk menampung gaji tentera dan menyarankan kepada baginda agar memberhentikan 90 000 tentera daripada 100 000 jumlah keseluruhannya. Alasannya lagi, tentera-tentera tersebut kebanyakkannya telah tua. Di sebalik saranan tersebut, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami sebenarnya memiliki muslihat tersendiri. Beliau sebenarnya mahu agar tentera-tentera berpengalaman (kebanyakannya dari golongan tua) dilenyapkan dari pasukan tentera, dan beliau juga sebenarnya mahu mengurangkan bilangan tentera. Ini kerana beliau telah bersepakat dengan tentera Monggol untuk melemahkan angkatan tentera Bani Abbasiyyah. Hasilnya, tentera Abbasiyyah yang berjumlah 100 000 pada asalnya hanya tinggal 10 000 orang sahaja, dan kebanyakan anggotanya terdiri daripada golongan muda yang kurang berpengalaman. Khalifah Al-Musta’shim begitu mudah menerima cadangan tersebut kerana Umayiduddin Muhammad Al-Aqami adalah menteri yang paling dipercayainya.

Umayiduddin Muhammad Al-Aqami juga telah melarang Khalifah dari menyiapkan pasukan tentera ketika Baghdad sedang dikepung tentera Monggol. Beliau mahu Khalifah menganjurkan perdamaian antara kerajaan Abbasiyyah dengan orang Monggol. Sedangkan mereka sendiri sudah sedia maklum, tentera Monggol bukanlah manusia yang boleh menerima perdamaian. Pada mereka (tentera Monggol), musuh hanya diberikan dua pilihan sahaja, menyerah atau berperang. Sekiranya musuh memilih untuk berdamai, bererti mereka menyerah diri kepadanya. Oleh itu, perdamaian dengan orang Monggol merupakan perkara yang amat mustahil untuk dilakukan. Namun, oleh kerana Khalifah begitu mempercayai kata-kata Umayiduddin Muhammad Al-Aqami, maka beliau bercadang untuk berdamai. Di sini satu kesilapan yang amat besar telah dilakukan oleh Khalifah Al-Musta’shim Billah. Umayiduddin Muhammad Al-Aqami telah mengaturkan satu pertemuan antara Hulagu Khan dengan Khalifah Abbasiyyah. Dalam pertemuan tersebut, lebih 700 pengiring Khalifah Al-Musta’shim Billah telah dibunuh oleh tentera Monggol. Orang Monggol sememangnya berniat untuk membunuh pengiring Khalifah yang terdiri daripada golongan agama awal-awal lagi, disebabkan itu mereka merancang mengasingkan khemah yang menempatkan Khalifah Al-Musta’shim dengan khemah yang menempatkan para pengiringnya. Setelah semua pengiring dibunuh, Hulagu Khan memberitahu perkara tersebut kepada Khalifah Al-Musta’shim dan memberikan alasan tenteranya membunuh mereka akibat perselisihan faham antara tenteranya dengan mereka. Sebelum Khalifah Al-Musta’shim dilepaskan pulang ke istana, beliau diberi amaran oleh Hulagu Khan agar tidak mengumpulkan bala tenteranya untuk berperang dengan mereka.

Umayiduddin Muhammad Al-Aqami, demi mengelakkan dirinya daripada dicurigai oleh Khalifah Al-Musta’shim, telah berpura-pura kononnya menyelamatkan nyawa khalifah ketika khalifah diugut hukum bunuh oleh Hulagu Khan yang juga berpura-pura ketika Khalifah Al-Musta’shim Billah berada di dalam khemah tersebut. Kesemua ini dirancang dengan rapi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami dan Hulagu Khan. Khalifah Al-Musta’shim Billah sering murung selepas kejadian itu. Rakyatnya yang kematian ahli keluarga telah datang ke istana. Mereka mahu Khalifah Al-Musta’shim Billah mengeluarkan perintah memerangi orang Monggol. Mereka mahu menuntut bela di atas kematian ahli keluarga mereka yang telah dibunuh dengan kejam oleh tentera Monggol. Namun Khalifah Al-Musta’shim Billah masih kebingungan dan beliau tidak mampu berbuat apa-apa kerana masih sedih dan terkejut dengan kejadian itu. Tambahan pula, beliau telah diugut sendiri oleh Hulagu Khan agar mendiamkan diri. Dalam hati beliau, Hulagu Khan lebih ditakuti berbanding Allah S.W.T. (sebagaimana kata puteranya Abu Bakar). Ketua tentera Abbasiyyah yang baru beberapa bulan dilantik, iaitu Rukunuddin Ad-Daudar telah banyak kali menggesa Khalifah Al-Musta’shim Billah agar membenarkan beliau mengumpulkan bala tentera untuk memerangi orang Monggol, sejak dari mula beliau dilantik lagi.

Namun gesaan itu tidak diendahkan Khalifah Al-Musta’shim Billah, malah dipandang remeh kerana dipengaruhi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Namun Rukunuddin Ad-Daudar tidak berdiam diri, lebih-lebih lagi selepas berlakunya peristiwa pembunuhan 700 orang pengiring khalifah itu. Beliau telah mengumpulkan rakyat jelata yang terdiri daripada anak-anak muda yang sanggup berjihad demi Islam. Beliau juga menyebarkan arahan berjihad ke setiap masjid di Baghdad. Akhirnya beliau berjaya mengumpulkan 20 000 tenteranya. Bilangan ini memang jauh lebih sedikit berbanding bilangan tentera Monggol (200 000), namun itu tidak mematahkan semangat mereka. Bilangan mereka yang sedikit itu bukanlah kerana rakyatnya tidak berani dan takut mati. Bahkan seruan jihad itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Perbuatan Umayiduddin Muhammad Al-Aqami menyuruh khalifah memecat sebahagian besar tentera Abbasiyyah sebelum ini menyebabkan bilangan mereka menjadi amat sedikit, dan kebanyakan ahlinya adalah anak muda yang bersemangat tetapi kurang pengalaman. Tentera-tentera yang telah dipecat oleh Khalifah Al-Musta’shim yang terdiri daripada bangsa Parsi dan Turki pula enggan kembali memberikan khidmat mereka kerana berasa marah dengan Khalifah. Mereka mahu agar khalifah digulingkan. Mereka juga telah pulang ke tanah air masing-masing kerana tidak mahu menjadi mangsa serangan tentera Monggol.

Rukunuddin Ad-Daudar berjaya mendapatkan kebenaran khalifah untuk memerangi tentera Monggol. Itupun selepas Khalifah Al-Musta’shim Billah puas dipujuk oleh puteranya iaitu Abu Bakar. Khalifah sememangnya benar-benar tertekan selepas peristiwa pembunuhan pengiringnya itu, maka beliau pun bercadang menyerahkan isu tersebut kepada Rukunuddin dan bala tenteranya. Rukunuddin telah melancarkan serangan ke atas tentera Monggol. Serangan mereka tidak kurang hebatnya kerana tidak kurang tentera Monggol yang terkorban. Namun disebabkan tentera mereka turut sama terkorban dan bilangan mereka semakin berkurangan, Rukunuddin Ad-Daudar menamatkan serangan (mengambil teladan Khalid Al-Walid R.A. dalam peristiwa di Yarmuk) dan membawa mereka semua lari ke Mesir untuk bergabung dengan tentera Mamalik Mesir dan tentera Berke Khan (orang Monggol yang memeluk Islam).

Mereka kembali berperang dengan tentera Monggol di ‘Ain Jalut di Palestin kira-kira dua tahun kemudian dalam Pertempuran Ain Jalut. Tentera Monggol berasa amat gembira setelah berjaya mengalahkan tentera Rukunuddin Ad-Daudar. Mereka bercadang untuk menakluk Baghdad secepat mungkin. Mereka berasa amat marah kerana ramai tenteranya gugur dibunuh tentera Rukunuddin Ad-Daudar. Sementara itu, rakyat Baghdad berada dalam keadaan bimbang kerana tentera Rukunuddin telah melarikan diri ke Mesir dan tidak ada sesiapa lagi yang mempertahankan kota Baghdad. Namun mereka telah berkumpul dan bercadang untuk berjihad menentang tentera Monggol sehingga ke titisan darah yang terakhir. Oleh itu, mereka telah menyuarakan hasrat mereka itu kepada Khalifah Al-Musta’shim Billah. Mereka benar-benar mahu berjihad mempertahankan agama dan tanah air mereka.


Di waktu ini, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami selaku menteri kepercayaan Khalifah Al-Musta’shim Billah, mengeluarkan helahnya sekali lagi. Beliau menyarankan kepada Khalifah Al-Musta’shim Billah agar tidak membenarkan rakyatnya keluar berjihad. Beliau turut menawarkan dirinya untuk berunding dengan tentera Monggol kononnya agar mereka dapat menerima perdamaian. Khalifah Al-Musta’shim Billah sekali lagi berjaya dipengaruhi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Maka Umayiduddin Muhammad Al-Aqami pun dengan gembiranya keluar bertemu dengan Hulagu Khan. Setelah pulang ke istana, beliau telah memaklumkan kepada Khalifah dengan bahawa Hulagu Khan setuju berdamai dan mahu agar Khalifah Al-Musta’shim Billah mengahwinkan puteranya Abu Bakar dengan puteri Hulagu Khan. Alangkah gembiranya Khalifah Al-Musta’shim Billah mendengarkan berita itu. Tambahan pula Umayiduddin Muhammad Al-Aqami menunjukkan cincin yang diberikan Hulagu Khan sebagai tanda perdamaian. Lalu baginda pun menyuruh rakyat dan pekerja-pekerja istana bergotong-royong menghias kota Baghdad demi menyambut Hulagu Khan dan rombongannya.

Di sebalik semua ini, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami sebenarnya telah merancang sesuatu bersama Hulagu Khan. Dalam rancangan tersebut, Hulagu Khan mahu Umayiduddin Muhammad Al-Aqami memastikan bahawa rakyat Baghdad menyambut kedatangan tentera Monggol bukan dengan senjata, tetapi dengan bunga-bunga. Dia mahu menakluk kota Baghdad dengan mudah. Umayiduddin Muhammad Al-Aqami bersetuju dan menerima rancangan tersebut. Sambil melihat rakyat Baghdad sibuk menghias kota, beliau tersenyum sinis. Namun tiada sesiapapun yang dapat menafsirkan apa yang tersembunyi di sebalik senyuman itu.

Pada hari Rabu, 18 Januari 1258, tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan menyerang kota Baghdad. Tentera Monggol datang dengan menunggang kuda mereka dengan laju seperti ombak besar yang datang mengganas. Mereka merempuh rakyat Baghdad yang sedang beratur di tepi jalan-jalan dan lorong-lorong di Baghdad dan membunuh mereka. Khalifah Al-Musta’shim Billah mula menyedari bahawa beliau telah ditipu oleh menterinya sendiri. Abu Bakar bersama seorang adiknya dan tiga orang pemuda lain yang merupakan putera kepada Syeikh Muhyiddin (ulama yang mengajar anak-anak khalifah) , berjihad bermati-matian menentang orang Monggol itu. Ramai orang Monggol yang gugur dipanah dan dipancung oleh mereka. Namun akhirnya mereka dibunuh oleh tentera Monggol tersebut selepas diugut meletakkan senjata. Orang Monggol turut membunuh isteri khalifah dan Syeikh Muhyiddin. Mereka turut membunuh semua pemuda lelaki, kaum ibu, orang tua dan kanak-kanak, dan menangkap anak-anak gadis, termasuk puteri-puteri Khalifah Al-Musta’shim Billah, untuk dihantar sebagai tawanan ke Monggol. Sementara anak kecil Khalifah Al-Musta’shim Billah dipelihara untuk dijadikan salah seorang tentera Monggol suatu hari nanti.

Pemandangan di sekitar kota Baghdad amat mengerikan dan menyayat hati. Kota tersebut dipenuhi dengan mayat-mayat bergelimpangan dan dicemari darah. Kaum lelaki, orang-orang tua dan bayi kesemuanya dibunuh. Kaum wanita diperkosa. Kitab-kitab ilmuwan Islam dibakar dan dicampakkan abunya ke dalam Sungai Tigris (Arab-Dajlah), sehingga air sungai tersebut bertukar hitam. Ada kitab yang disusun untuk dijadikan jambatan menyeberangi sungai tersebut, dan ada pula yang dijual kepada pedagang-pedagang Kristian Eropah, yang turut bersubahat dengan orang Monggol. Orang Eropah bertanggungjawab menghasut orang Monggol supaya membenci orang Islam. Oleh itu, penduduk Baghdad yang beragama Kristian dibiarkan hidup. Kebanyakan orang Islam yang masih selamat sedang bersembunyi di dalam bumbung rumah dan kawasan-kawasan tersembunyi yang lain.

Disebabkan adat orang Monggol yang melarang mereka menumpahkan darah raja, maka Khalifah Al-Musta’shim Billah dibunuh dengan cara dipijak dalam gulungan tikar oleh tentera Monggol. Berakhirlah sebuah kerajaan Islam yang telah bertahan selama lebih dari 500 tahun.

Umayiduddin Muhammad Al-Aqami keluar daripada tempat persembunyiannya. Beliau bertemu Hulagu Khan untuk menuntut janjinya kerana Hulagu Khan telah berjanji untuk melantik beliau sebagai khalifah setelah Khalifah Al-Musta’shim Billah digulingkan. Namun Hulagu Khan enggan menunaikan janjinya dan beliau bercadang untuk tidak membunuh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Pulanglah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami ke rumahnya dengan hampa. Setibanya di rumah, beliau terkejut kerana mendapati keluarganya dibunuh. Tidak syak lagi, keluarga beliau telah dibunuh oleh rakyat Baghdad yang menaruh dendam terhadapnya kerana mengkhianati khalifah. Namun beliau masih terselamat kerana dikawal oleh orang-orang Monggol yang diperintahkan oleh Hulagu Khan. Maka hiduplah beliau seorang diri tanpa keluarga dan pangkat kebesaran, dan terus menerus dibenci oleh rakyatnya sendiri.

Itulah akibat dari perbuatan khianat beliau terhadap negaranya sendiri dan kerana terlalu menurut nafsu dendam terhadap khalifahnya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.”
(Al-Mumtahinah: 1)

“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (At-Taubah: 73)

Pengajaran daripada kisah ini:

a) Bersikap berkecuali dan adil dalam kepimpinan dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Salah satu punca kejatuhan Khalifah Al-Musta’shim Billah ialah kerana beliau mudah dipengaruhi orang bawahannya.

b) Menyelidik betul salah tindakan orang bawahan dan tidak membuat keputusan melulu dan bersikap terburu-buru yang akan menimbulkan dendam di kalangan mereka.
Sikap Khalifah Al-Musta’shim Billah yang percaya Rukunuddin Ad-Daudar menjalankan tugas mematahkan pemberontakan dengan baik tanpa menyiasatnya terlebih dahulu, menimbulkan kemarahan Umayiduddin Al-Aqami yang memegang bukti bahawa tentera Rukunuddin Ad-Daudar telah memperkosa penduduk Kirkuk. Umayiduddin Al-Aqami akhirnya menyimpan dendam terhadap khalifah.

c) Tidak mempercayai musuh-musuh Islam dan tidak bekerjasama langsung dengan mereka.
Perbuatan Umayiduddin mempercayai janji-janji manis Hulagu Khan akhirnya memakan diri sendiri. Akhirnya, Hulagu Khan tidak menunaikan janji tersebut dan Umayiduddin Al-Aqami berada dalam kerugian yang nyata.

d) Semangat jihad dan tidak berputus asa meskipun musuh lebih kuat, atau meskipun negara seperti telur berada di hujung tanduk.
Semangat ini ditunjukkan oleh anak-anak Syeikh Muhyiddin dan putera khalifah Abu Bakar ketika orang Monggol menceroboh istana khalifah.

e) Percaya kepada kebolehan diri dan tidak hanya percaya kepada khabar angin sahaja. Rukunuddin Ad-Daudar langsung tidak gentar meskipun tersebar kata-kata yang memberitahu bahawa orang Monggol tidak pernah dikalahkan.

f) Membuat perancangan terbaik dan realistik sebelum melakukan sesuatu.
Rukunuddin Ad-Daudar tidak merancang taktiknya dengan baik. Ini kerana selepas mereka melarikan diri ke Mesir, tidak ada langsung tentera pelapis yang mempertahankan Baghdad. Akibatnya, Baghdad diserang dengan mudah oleh tentera Monggol. Beliau sepatutnya membahagikan tenteranya kepada dua; satu untuk memerangi orang Monggol dan satu lagi untuk mempertahankan Baghdad.
Read More ...
Wednesday, May 26, 2010

Imam Ahmad


Nasab (keturunan) Imam an-Nawawi

Beliau adalah al-Imam al-Hafizh, Syaikhul Islam, Muhyiddin Abu Zakaria Yahya bin Syaraf bin Mury bin Hasan bin Husain bin Muhammad bin Jum’ah bin Hizam an-Nawawi ad-Dimasyqi asy-Syafi’i. Kata ‘an-Nawawi’ dinisbahkan kepada sebuah perkampungan yang bernama ‘Nawa’, salah satu perkampungan di Hauran, Syiria, tempat kelahiran beliau. Beliau dianggap sebagai syaikh di dalam madzhab Syafi’i dan ahli fiqh terkenal pada zamannya.

Kelahiran dan Lingkungannya

Beliau dilahirkan pada Bulan Muharram tahun 631 H di perkampungan ‘Nawa’ dari dua orang tua yang shalih. Ketika berusia 10 tahun, beliau sudah memulai hafal al-Qur’an dan membacakan kitab Fiqh pada sebahagian ulama di sana. Proses pembelajaran ini di kalangan Ahli Hadits lebih dikenal dengan sebutan ‘al-Qira`ah’.

Suatu ketika, secara kebetulan seorang ulama bernama Syaikh Yasin bin Yusuf al-Marakisyi melewati perkampungan tersebut dan menyaksikan banyak anak-anak yang memaksa ‘an-Nawawi kecil’ untuk bermain, namun dia tidak mahu bahkan lari dari kejaran mereka dan menangis sambil membaca al-Qur’an. Syaikh ini kemudian menghantarkannya kepada ayahnya dan menasihati sang ayah agar mengarahkan anaknya tersebut untuk menuntut ilmu. Sang ayah setuju dengan nasihat ini.

Pada tahun 649 H, an-Nawawi, dengan dihantar oleh sang ayah, tiba di Damaskus dalam rangka melanjutkan studinya di Madrasah Dar al-Hadits. Dia tinggal di al-Madrasah ar-Rawahiyyah yang menempel pada dinding masjid al-Umawy dari sebelah timur. Pada tahun 651 H, dia menunaikan ibadah haji bersama ayahnya, lalu pulang kembali ke Damaskus.

Pengalaman Intelektualnya

Pada tahun 665 H saat baru berusia 34 tahun, beliau sudah menduduki posisi ‘Syaikh’ di Dar al-Hadits dan mengajar di sana. Tugas ini tetap dijalaninya hingga beliau wafat.

Dari sisi pengalaman intelektualnya setelah bermukim di Damaskus terdapat tiga karakteristik yang sangat menonjol:

Pertama, Kegigihan dan Keseriusan-nya di dalam Menuntut Ilmu Sejak Kecil hingga meningkat Remaja.

Ilmu adalah segala-galanya bagi an-Nawawi sehingga dia merasakan kenikmatan yang tiada tara di dalamnya. Beliau amat serius ketika membaca dan menghafal. Beliau berhasil menghafal kitab ‘Tanbih al-Ghafilin’ dalam waktu empat bulan setengah.

Sedangkan waktu yang tersisa lainnya dapat beliau gunakan untuk menghafal seperempat permasalahan ibadat dalam kitab ‘al-Muhadz-dzab’ karya asy-Syairazi. Dalam tempoh yang relatif singkat itu pula, beliau telah berhasil membuat decak kagum sekaligus meraih kecintaan gurunya, Abu Ibrahim Ishaq bin Ahmad al-Maghriby, sehingga menjadikannya sebagai wakilnya di dalam halaqah pengajian yang dia pimpin bilamana berhalangan.

Kedua, Keluasan Ilmu dan Wawasannya

Mengenai bagaimana beliau memanfa’atkan waktu, seorang muridnya, ‘Ala`uddin bin al-‘Aththar bercerita, “Pertama beliau dapat membacakan 12 pelajaran setiap harinya kepada para Syaikhnya beserta syarah dan tash-hihnya; kedua, pelajaran terhadap kitab ‘al-Wasith’, ketiga terhadap kitab ‘al-Muhadzdzab’, keempat terhadap kitab ‘al-Jam’u bayna ash-Shahihain’, kelima terhadap kitab ‘Shahih Muslim’, keenam terhadap kitab ‘al-Luma’ ‘ karya Ibnu Jinny di dalam ilmu Nahwu, ketujuh terhadap kitab ‘Ishlah al-Manthiq’ karya Ibnu as-Sukait di dalam ilmu Linguistik (Bahasa), kelapan di dalam ilmu Sharaf, kesembilan di dalam ilmu Ushul Fiqh, kesepuluh terkadang terhadap kitab ‘al-Luma’ ‘ karya Abu Ishaq dan terkadang terhadap kitab ‘al-Muntakhab’ karya al-Fakhrur Razy, kesebelas di dalam ‘Asma’ ar-Rijal’, keduabelas di dalam Ushuluddin. Beliau selalu menulis syarah yang sulit dari setiap pelajaran tersebut dan menjelaskan kalimatnya serta meluruskan ejaannya”.

Ketiga, Produktif di dalam Menelurkan Karya Tulis

Beliau telah berminat terhadap dunia tulis-menulis dan menekuninya pada tahun 660 H saat baru berusia 30-an.

Dalam karya-karya beliau tersebut akan didapati kemudahan di dalam mencernanya, keunggulan di dalam argumentasinya, kejelasan di dalam kerangka berfikirnya serta keobjektifan-nya di dalam memaparkan pendapat-pendapat Fuqaha‘.

Buah karyanya tersebut hingga saat ini selalu menjadi bahan perhatian dan diskusi setiap Muslim serta selalu digunakan sebagai rujukan di hampir seluruh belantara Dunia Islam.

Di antara karya-karya tulisnya tersebut adalah ‘Syarh Shahih Muslim’, ‘al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab’, ‘Riyadh ash-Shalihin’, ‘ al-Adzkar’, ‘Tahdzib al-Asma’ wa al-Lughat’ ‘al-Arba’in an-Nawawiyyah’, ‘Rawdhah ath-Thalibin’ dan ‘al-Minhaj fi al-Fiqh’.

Budi Pekerti dan Sifatnya

Para pengarang buku-buku ‘biografi’ (Kutub at-Tarajim) sepakat, bahawa Imam an-Nawawi merupakan hujung tombak di dalam sikap hidup ‘zuhud’, teladan di dalam sifat wara’ serta tokoh tanpa tanding di dalam ‘menasihati para penguasa dan beramar ma’ruf nahi munkar’.

> Zuhud
Beliau hidup bersahaja dan mengekang diri sekuat tenaga dari kongkongan hawa nafsu. Beliau mengurangi makan, sederhana di dalam berpakaian dan bahkan tidak sempat untuk menikah. Kenikmatan di dalam menuntut ilmu seakan membuat dirinya lupa dengan semua kenikmatan itu. Beliau seakan sudah mendapatkan gantinya.

Di antara indikatornya adalah ketika beliau pindah dari lingkungannya yang terbiasa dengan pola hidup ‘seadanya’ menuju kota Damaskus yang ‘serba ada’ dan penuh glamour. Perpindahan dari dua dunia yang amat kontras tersebut sama sekali tidak menjadikan dirinya tergoda dengan semua itu, bahkan sebaliknya semakin menghindarinya.

> Wara’
Bila membaca riwayat hidupnya, maka akan banyak sekali dijumpai sifat seperti ini dari diri beliau. Sebagai contoh, misalnya, beliau mengambil sikap tidak mahu memakan buah-buahan Damaskus kerana merasa ada syubhat tentang kepemilikan tanah dan kebun-kebunnya di sana.

Contoh lainnya, ketika mengajar di Dar al-Hadits, beliau sebenarnya menerima gaji yang cukup besar, tetapi tidak sedikit pun diambilnya. Beliau justeru mengumpulkannya dan menitipkannya pada kepala Madrasah. Setiap mendapatkan jatah tahunannya, beliau membeli sebidang tanah, kemudian mewakafkannya kepada Dar al-Hadits. Atau membeli beberapa buah buku kemudian mewakafkannya ke perpustakaan Madrasah. Beliau tidak pernah mahu menerima hadiah atau pemberian, kecuali bila memang sangat memerlukannya sekali dan ini pun dengan syarat. Iaitu, orang yang membawanya haruslah diri yang sudah beliau percayai diennya.

Beliau juga tidak mahu menerima sesuatu, kecuali dari kedua orang-tuanya atau kerabatnya. Ibunya selalu mengirimkan baju atau pakaian kepadanya. Demikian pula, ayahnya selalu mengirimkan makanan untuknya.

Ketika berada di al-Madrasah ar-Rawahiyyah, Damaskus, beliau hanya mahu tidur di kamar yang disediakan untuknya saja di sana dan tidak mahu diistimewakan atau diberikan fasiliti yang lebih dari itu.

> Menasihati Penguasa dalam Rangka Amar Ma’ruf Nahi Munkar
Pada masanya, banyak orang datang mengadu kepadanya dan meminta fatwa. Beliau pun dengan senang hati menyambut mereka dan berupaya seoptimal mungkin mencarikan solusi bagi permasalahan mereka, sebagaimana yang pernah terjadi dalam kes penyegelan terhadap kebun-kebun di Syam.

Kisahnya, suatu ketika seorang sultan dan raja, bernama azh-Zhahir Bybres datang ke Damaskus. Beliau datang dari Mesir setelah memerangi tentara Tartar dan berhasil mengusir mereka. Saat itu, seorang wakil Baitul Mal mengadu kepadanya bahawa kebanyakan kebun-kebun di Syam masih milik negara. Pengaduan ini membuat sang raja langsung memerintahkan agar kebun-kebun tersebut dipagari dan disegel. Hanya orang yang mengakui kepemilikannya di situ saja yang diperkenankan untuk menuntut haknya asalkan menunjukkan bukti, iaitu berupa sijil kepemilikan.

Akhirnya, para penduduk banyak yang mengadu kepada Imam an-Nawawi di Dar al-Hadits. Beliau pun menanggapinya dengan langsung menulis surat kepada sang raja. Sang Sultan gusar dengan keberaniannya ini yang dianggap sebagai sebuah kelancangan. Oleh kerana itu, dengan serta merta dia memerintahkan bawahannya agar memotong gaji ulama ini dan memberhentikannya dari kedudukannya. Para bawahannya tidak dapat menyembunyikan kehairanan mereka dengan menyeletuk, “Sesungguhnya, ulama ini tidak memiliki gaji dan tidak pula kedudukan, paduka !!”.

Menyedari bahawa hanya dengan surat saja tidak mampan, maka Imam an-Nawawi langsung pergi sendiri menemui sang Sultan dan menasihatinya dengan ucapan yang keras dan pedas. Rupanya, sang Sultan ingin bertindak kasar terhadap diri beliau, namun Allah telah memalingkan hatinya dari hal itu, sehingga selamatlah Syaikh yang ikhlas ini. Akhirnya, sang Sultan membatalkan masalah penyegelan terhadap kebun-kebun tersebut, sehingga orang-orang terlepas dari bencananya dan merasa tenteram kembali.

Wafatnya

Pada tahun 676 H, Imam an-Nawawi kembali ke kampung halamannya, Nawa, setelah mengembalikan buku-buku yang dipinjamnya dari badan urusan Waqaf di Damaskus. Di sana beliau sempat berziarah ke kuburan para syaikhnya. Beliau tidak lupa mendo’akan mereka atas jasa-jasa mereka sambil menangis. Setelah menziarahi kuburan ayahnya, beliau mengunjungi Baitul Maqdis dan kota al-Khalil, lalu pulang lagi ke ‘Nawa’. Sepulangnya dari sanalah beliau jatuh sakit dan tak berapa lama dari itu, beliau dipanggil menghadap al-Khaliq pada tanggal 24 Rajab pada tahun itu. Di antara ulama yang ikut menyalatkannya adalah al-Qadhy, ‘Izzuddin Muhammad bin ash-Sha`igh dan beberapa orang shahabatnya. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat-Nya yang luas dan menerima seluruh amal shalihnya. Amin.



(Diambil dari pengantar kitab Nuzhah al-Muttaqin Syarh Riyadh ash-Shalihin karya DR. Musthafa Sa’id al-Khin, et.ali, Jld. I, tentang biografi Imam an-Nawawiy)
Read More ...