- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Saturday, September 25, 2010

26 Episod Gosip

“CUUUUUTTTTTT!!! Tak boleh berlakon jadi penyanyilah, dah tiga ratus lapan puluh takes tak jadi-jadi, mangkuk-hayun. Harap muka saja lawa, kau ingat muka boleh cari makan hah pergi diskolah.” ~ M. Nasir: Bikin Filem


Tiba-tiba saya nak jadi pengarah filem. Tapi bukan sembarang pengarah. Saya mahu jadi pengarah yang garang. Pengarah yang boleh bertempik seperti Nasir Jani dalam lagu Bikin Filem. Syok kan, boleh jerkah orang macam tu. Seronok kan, boleh tengking orang macam tu. Dan ini semua gara-gara baca 26 Episod Gosip arahan... errr maksud saya tulisan Haswida Abu Bakar.

Tapi membaca 26 Episod Gosip memang membuat saya rasa seperti menonton sebuah filem atau drama dalam televisyen. Dan untuk membuktikan tanggapan saya itu, selepas membaca novel ini saya menonton sebuah drama Melayu dalam televisyen. Saya perhatikan cara watak bergerak, cara watak bercakap, cara watak memandang antara satu sama lain, dan babak-babak yang ada lalu saya membandingkan dengan 26 Episod Gosip. Lalu saya rasa saya tidak silap. Sebijik!

Mungkin juga kerana 26 Episod Gosip ditulis oleh seorang pensyarah filem yang tentu saja dikira orang yang pakar dalam selok-belok perfileman.

26 Episod Gosip mengisahkan Ain yang baru mendapat ijazah filem (dalam fikiran saya nampak lepasan UiTM) tetapi telah dilantik menjadi penolong pengarah untuk penggambaran sebuah telenovela – Jas.

Mungkin kerana dia cantik, mungkin kerana dia muka baharu atau mungkin kerana perangai tak makan samannya maka dua hero drama Melayu jatuh cinta padanya. Pertama, Jeffri Hussin pelakon kacak berdarah campuran Cina-Belanda-Melayu yang dipilih sebagai pelakon lelaki tanah air paling seksi oleh sebuah majalah lelaki. Kedua, Ari Zaman, pelakon muda yang sedang meningkat naik dan yang penting juga... kacak!

Lalu bermati-matianlah kedua-dua pelakon ini berebut cinta Ain. Masing-masing memperagakan kekacakan dan menggunakan pelbagai taktik untuk memikat Ain. Tapi akan terpikatkah Ain kerana antara dua pelakon muda itu, seseorang daripada masa belajar Ain juga mencintai Ain. Juga Ain sendiri masih mengharapkan Hadif, kekasih lamanya untuk kembali padanya. Serta Ain juga begitu meminati pelakon muda yang kacak lagi bertubuh sasa, Joe Adam.

Untuk tahu siapakah yang akan dipilih Ain, anda semua kenalah baca novel yang ditulis oleh penulis yang pernah membimbing pelakon yang sedang meningkat naik – Farid Kamil dalam kelas perfilemannya ini. Dan anda juga boleh membayangkan pelakon itu antara watak-watak yang ada.

--------------------------------------------------------------------

~ blurb ~

matahari bukan pelakon yang boleh disuruh ulang berlakon

Seperti hidup ini, ada benda yang kita mahu pilih sekali sahaja sepanjang hidup: kekasih. Ini kisah di belakang tabir. Cerita Ain Nurlisa yang keras hati pada cinta bermula dari sini... ‘di dalam’ dan ‘di luar lokasi’ bersama krew produksinya...

Scene 1

“Ingat kau orang ikut mak dan Posh berkaraoke!”

“Mak pandai menyanyi ke?”

“Bolehlah!”

“Hessyy! Jangan buat main, Misha Omar tu... suara sedap,” celah pelakon baharu, Ari Zaman.

“Suara mak tu... mula aja ala-ala Misha Omar, lepas tu jadilah suara Hattan ke Jamal Abdillah la pula!” seloroh juruaudio produksi.

Scene 2

“Wah, Jeffri Husin sejak bila pulak suka pakai blusher ni? Cap apa?” usik Rosie.

“Bukan senang tau, nak ‘terpakai’ blusher yang ada corak lima jari kat pipi macam ni,” gurau Jeffri. Telapak tangan Ain masih pedih, sepedih hatinya.

“Hey girls, hati-hati kau orang dengan pelakon pujaan Malaya ni. Nanti frust terlebih tonggeng kau,” leter Posh.

* * *

HASWIDA ABU BAKAR mahir terap ilmu perfileman untuk ‘mengarah’ novel 26 Episod Gosip. ‘Tontonlah’ bagaimana HASWIDA ABU BAKAR menggerak watak-wataknya menjadi sebuah telenovela.

ISBN: 978-967-5118-44-9
Harga: RM19.00 (Sem. M'sia)/RM22.00 (Sabah/Sarawak)

0 comments: