- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Sunday, September 5, 2010

KERANA ISTERI, SUAMI SAKIT JIWA?


Allah menjadikan Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam untuk menjadi penghibur setia Nabi Adam di dalam syurga. Siti Kadijah banyak membantu dalam menyuburkan jiwa dan memberi semangat kepada Rasulullah pada masa awal Islam mula disebarkan ke tengah masyarakat. Kewafatan Siti Khadijah dirasakan sebagai kehilangan besar bagi baginda, sehinggakan tahun kewafatan Siti Khadijah dinamakan ‘tahun dukacita’. Demikian peranan isteri sebagai pemulih semangat suami. Bahkan isterilah satu-satunya tempat berhibur suami yang dihalalkan oleh Allah..

Lihatlah betapa bahagianya para sahabat dahulu kala; walaupun letih berjuang tetapi apabila balik ke rumah, isteri menyambut kepulangan mereka dengan senyum manis.

Pernah Sayidina Ali yang baru pulang dari medan pertempuran dan mengharungi padang pasir dengan segala kepayahan dan keletihan, terasa segar apabila kepulangannya disambut dengan senyuman oleh siti Fatimah. Walhal kalau dikaji sejarah kehidupan Sayidina Ali dan Siti Fatimah merekalah antara pasangan suami yang paling miskin. Siti Fatimah seringkali ditinggalkan berbulan-bulan oleh Sayidina Ali yang sering keluar berjuang. Biasanya dia ditinggalkan tanpa barang keperluan dapur yang mencukupi. Namun sedikit pun Siti Fatimah tidak merungut, apalagi untuk marahkan suaminya. Bahkan beliau berusaha sendiri menguruskan keperluan rumahtangganya. Namun anak kesayangan Rasulullah saw ini, yang tebal iman di hatinya, masih mampu melemparkan senyuman manis menyambut kepulangan suaminya.

Para isteri-isteri mestilah memainkan peranan penting dalam pembentukan jiwa suami. Isteri yang terlalu banyak membuat masalah kepada suami akan menghalang tugas seharian suaminya. Bahkan ada kemungkinan suami mengalami sakit jiwa.

Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan lebih 72% daripada jumlah pesakit otak terdiri daripada kaum lelaki. Pakar-pakar perubatan, dalam kajian mereka mendapati bahawa salah satu punca utama suami sakit jiwa ialah kerana isterinya terlalu mendesak suami menyediakan segala bentuk kemewahan walaupun di luar kemampuan suami. Kepulangan suami dari pejabat atau dari tempat kerja tidak disambut dengan layanan mesra, bahkan belum pun sempat suami meletakkan punggung dia telah diserang dengan pertanyaan demi pertanyaan. Selagi suami tidak menunaikan permintaannya, selagi itulah isteri akan mendesak si suami.

Menurut laporan dari Penasihat Persatuan Pesakit-pesakit Jiwa Pulau Pinang, kebanyakan lelaki yang sakit jiwa adalah mereka yang sering berhadapan dengan ragam isteri yang gilakan kemewahan. Tidak kurang juga yang menderita sakit jiwa kerana isteri tidak dapat menerima hakikat poligami (bagi yang berpoligami). Begitulah amat berkesannya jarum yang dicucuk oleh para isteri sehingga menyebabkan suami menderita.

Pada umumnya ada dua punca utama suami sakit jiwa. Pertama, kerana kelemahan suami itu sendiri dan Kedua, kerana ragam isteri.

Allah telah menetapkan lelaki (suami) sebagai pemimpin bagi kaum wanita. Sebagai pemimpin, dia berhak membuat keputusan dan wanita (isteri) mahu tidak mahu mesti mentaati keputusan itu walaupun bertentangan dengan kehendaknya. Sekiranya suami tegas mengikut kehendak syariat di samping berusaha mendidik isteri, insyaAllah tidak berlaku kes isteri mendesak-desak
suami, apatah lagi mengarah-arahkan suami mengikut kehendaknya.

Bagi pihak isteri pula, sekiranya dia mengetahui peranannya yang sebenar, maka tidak mungkin dia akan queen-control suaminya. Walaupun isteri mempunyai hak dalam rumahtangga tetapi hak tersebut ada batasnya.

Di antara hak yang wajib isteri laksanakan:

1. Mentaati perintah suami (yang tidak bertentangan dengan syariat).
2. Sentiasa malu terhadap suami dan menghormatkannya.
3. Diam tatkala suami sedang bercakap.
4. Merasa cukup dengan pemberian suami walaupun sedikit.
5. Tidak meminta-minta sesuatu yang di luar kemampuan suami termasuk perhiasan atau perabot yang mahal-mahal.
6. Sentiasa berhias tatkala berhadapan dengan suami.
7. Tidak keluar rumah tanpa izin suami.
8. Menghormati keluarga suami dan kaum kerabatnya.
9. Sentiasa melayan keinginan suami untuk bergurau senda.

Demikianlah antara kewajipan isteri, Jika para isteri dapat melaksanakannya, insyaAllah tidak timbul masalah yang menyusahkan suami. Sabarnya seorang isteri di dunia akan Allah gantikan dengan ganjaran pahala dan balasan syurga di akhirat kelak.

Sekiranya isteri boleh berlebih kurang dengan haknya, kerana suami tidak mampu menyediakan segala keperluan rumahtangga, alangkah bahagianya kehidupan mereka. Isteri yang begini akan merasa cukup dengan pemberian suaminya malah menghargai sungguh-sungguh segala pemberian suami. Sehingga dengan itu akan terasalah oleh suami, isterilah penghibur dan penyubur jiwa. Di dunia lagi pasangan suami isteri yang begini telah merasai ‘syurga yang disegerakan’ sebelum menikmati syurga yang kekal abadi di akhirat kelak, insyaAllah.

0 comments: