- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Saturday, August 28, 2010

Antara Safa dan Marwah

Salam Ramadan,

Mula-mula ketika Kak Nila dan Kak Ajah minta saya membaca Antara Safa dan Marwah, fikiran saya mula terbayangkan cerita ala-ala novel Islamik yang sekarang jadi trend di pasaran. Cerita tipikal tentang seorang hero, si malaikat dalam bentuk manusia yang jadi pujaan ramai perempuan cantik. Dan perjuangan hero ialah memilih siapakah yang perlu dipilih antara ramai yang minta dipilih itu.

Maka mulalah saya membaca Antara Safa dan Marwah dengan perasaan skeptikal. Tapi selepas beberapa bab tanggapan saya sedikit demi sedikit berubah. Seperti embun pagi di pucuk daun yang disapa mentari pagi. Rupa-rupanya ini bukan kisah malaikat tapi cerita manusia. Kisah perjuangan Syeikh Hamdani dan anaknya Nur Atiqah dalam membangunkan ekonomi umat Islam melalui bidang IT dan pemprosesan makanan halal. Sambil membaca fikiran saya menerawang, membayangkan bahawa Syeikh Hamdani tentu mahu membina sebuah syarikat Nestle tapi milik orang Islam yang produknya tentu saja halal lagi suci.

Tetapi anda jangan salah anggap dan peminat kisah cinta jangan pula kecewa hingga tak mahu beli, perjuangan itu hanya latarnya sahaja. Tetap ada kisah ‘dalam hati ada kebun bunga’.

Antara Safa dan Marwah, mengajak pembaca untuk ikut berhijrah bersama Nur Atiqah, (seorang manusia dengan sifat manusianya yang ada kelebihan dan kekurangan) gadis Melayu-Arab bermata biru-kehijauan dari Jeddah ke Kuala Lumpur, tanah kelahiran ibu tersayang yang tidak pernah ditemuinya. Tapi di Kuala Lumpur, bukan setakat kasih sayang ibu yang dicarinya tapi cinta rindu seorang kekasih yang perlu disaringnya. Seorang lelaki yang diharapnya untuk dapat menyayanginya hingga ke akhir hayat. Antara cinta seorang lelaki yang dia cintai, seorang lelaki dari masa lepas yang pernah dicintainya dan seorang lelaki yang diharap oleh ayahnya untuk dia cintai.

Selesai membacanya, saya tabik pada Pak Prof kerana berjaya menulis sebuah kisah yang menarik. Tapi selepas itu terselit juga hasrat di hati, moga-moga Pak Prof menggunakan kepakarannya dalam bidangnya selepas ini untuk menulis kisah-kisah fiksyen sains seperti penulis Michael Crichton. Sama-samalah ya kita berdoa, selepas ini ada cerita ala-ala Jurasic Park Melayu berlatarbelakangkan Tasik Chini. Tentu gempak habis!


usah diulang cerita lama, usah dituil keruping luka, usah dipaksa hati yang parah berdarah kembali
Ini kisah teganya hati seorang ibu meninggalkan anak yang baru berusia enam bulan; dan teguhnya hati sang anak mencari umi yang menghilang itu.
Kenapa ya sejak akhir-akhir ini hati semakin kerap dioles rindu pada umi? Mungkin sebab dia berada jauh dari Jeddah. Atau Masjidilharam tidak sedekat dulu untuk dijadikan tempat menenteramkan jiwa. Atau umi sudah terlalu hampir sehingga baunya boleh dihidu oleh panca keenamnya?

Di mana nak dicari di Malaysia ini, seorang wanita bermata biru-hijau dan berumur sekitar lima puluh tahun. Ah, dia rindu sangat pada umi.

Ini cerita seorang perempuan yang terpaksa membuat pilihan hati – Muaz yang disukai ayahnya, Faisal lelaki berambut perang yang dulunya membenci kaum Hawa atau Hizbul yang pernah melukakannya tapi kini kembali menagih hatinya. Dia buntu!
* * * *

ISMAD ASTAR mengajak pembacanya ‘berhijrah’ untuk kehidupan yang lebih bermakna. Antara Safa dan Marwah memperlihatkan kasihnya ayah juga membawa ke syurga.
ISBN: 978-967-5118-43-2
Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)

Saya kagum dengan iltizam Ismad Astar, dalam kesibukan memberi kuliah, membuat penyelidikan sains dan menulis di jurnal saintifik masih sempat beliau meluangkan waktu untuk menulis demi kemaslahatan pembaca yang dimomokkan dengan lambakan novel yang kurang berisi. Beliau bukan jenis ayam jantan yang berkokok kuat, beliau jenis yang diam-diam ubi berisi.

Yang benar,

Inche Metafora


Petikan Antara Safa dan Marwah (halaman 1 - 8)

OH TUHAN! Jadikanlah negara ini tempat tinggal yang baik untuk ana. Usai berdoa dalam hati, Nur Atiqah bangun dan mengikuti ayahnya keluar pesawat.

Inilah kali pertama dia memijakkan kaki ke sebuah negara yang asing dari segi tempat, tetapi tidak asing pada namanya. Malaysia .... Lima tahun dahulu nama itu pernah bermain di bibir dan terpahat di minda. Hampir sahaja rancangan untuk datang dan terus tinggal di negara ini menjadi kenyataan. Namun, hasrat itu tidak kesampaian. Di saat-saat akhir, ia terpaksa dibatalkan.

Kalau diikutkan hati yang terluka, jangankan memijakkan kaki, hendak menyebut nama negara ini pun dia tak mahu. Malah, tak mahu ada apa-apa kaitan pun dengan negara ini sampai bila-bila. Tetapi manusia hanya boleh merancang. Yang menentukan hanyalah Allah. Takdir-Nya tiada siapapun yang boleh menolak.

“Walaupun kita yang merancang, tapi habibati kena percaya semua yang berlaku ini adalah takdir yang telah ditentukan. Yakinlah habibati, setiap yang berlaku ini ada hikmahnya,” kata ayahnya semasa hendak meninggalkan Jeddah sehari yang lalu.

Bukan Syeikh Hamdani tak kasihan pada anaknya itu. Bukan dia tak tahu yang anaknya boleh menghadapi risiko tekanan jiwa kerana kejutan budaya di tempat baharu nanti. Tapi demi kebaikan masa depan, dia tetap pada pendiriannya... hijrah. Kerana setiap kebaikan bermula dengan hijrah.

“Habibati, hijrah satu pengorbanan. Pengorbanan memerlukan kesabaran. Hijrah juga satu cabaran. Menghadapi cabaran memerlukan ketabahan.” Nur Atiqah hanya diam. Akur dengan perjalanan arus. Membiarkan dirinya dibawa ke mana-mana. Air mata biru pun dibiarkan meluncur tanpa diseka.

“Habibati, walau jauh mana pun kita hijrah, kita akan kembali lagi ke sini, insya-Allah,” pujuk Syeikh Hamdani lagi.

Betulkah begitu? Betulkah dia dapat kembali ke Jeddah bila-bila sahaja dia suka? Betulkah dia dapat ziarah Masjidilharam dan Baitil Atiq bila-bila sahaja dia terasa rindu? Tidak semudah itu. Dia pernah meninggalkan Jeddah selama empat tahun kerana melanjutkan pelajaran dalam jurusan Teknologi Maklumat (IT) di California.

Kemudian empat tahun lagi semasa belajar di Syria.

Tetapi meninggalkan Jeddah ketika itu tidak sama dengan sekarang. Dulu dia tahu, habis tempoh pengajian dia akan balik semula ke Jeddah, tempat dia dibesarkan. Sekarang ini tidak. Dia datang ke Malaysia ini bukan untuk tempoh masa yang tertentu. Tetapi hijrah, dari Tanah Arab ke suatu destinasi yang asing. Hijrah yang realitinya bukan sahaja pada tempat, tetapi juga pada masa, entah sekejap entah selamanya.

Masa di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah semalam pun sudah terbayang masa-masa kesunyian yang bakal ditempuhi. Kata-kata kawan baiknya, Khairun Nisa’, dan beberapa orang temannya, seolah-olah mengingat dia tentang hakikat itu.

“Kami nak ucapkan selamat jalan pada enti.”

“Kami nak ucapkan selamat berjaya dalam segala urusan enti di sana kelak.”

“Kalau ada rezeki kami akan datang melawat enti di sana nanti.”

Itu janji mereka. Nur Atiqah setakat tersenyum, manis di bibir tetapi terasa kelat di hati. Entah bila mereka itu akan sampai ke sana nanti? Entah.

Berat mata memandang berat lagi berat bahu memikul. Namun tak seberat hati yang menanggung rasa. Rasa keseorangan tanpa ayah atau kawan yang entah bila akan bertemu semula. Rasa debaran terhadap cabaran hijrah yang menanti. Rasa asingnya perantauan yang akan didiami. Rasa risau terhadap masa depan yang tak dapat dibayangkan. Satu demi satu perasaan itu mendatangi ruang mindanya. Hati resah fikiran bercelaru. Pada siapa dia hendak mengadu?

“Allah ada di mana-mana habibati. Allah dengar doa kita walau di mana pun kita berada,” pujuk ayahnya, siap dengan rujukan ayat al-Quran sekali.

Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya tentang Aku, Maka sesungguhnya Aku sangat dekat; al-Baqarah ayat 186.

Mudah Syeikh Hamdani menuturkan jawapan. Namun jauh di sudut hati dia turut merasai apa yang dirasakan oleh anaknya itu. Jika hati terpaut pada sesuatu, memang sukar untuk berpisah dengannya. Sejak kecil dia selalu membawa anaknya ke Makkah. Mereka akan mengerjakan umrah, atau sekadar solat di Masjidilharam dan tawaf sunat mengelilingi Baitullah. Setengah hari di situ, Nur Atiqah akan kembali ceria.

Sekatan tol membawa balik pemikiran Nur Atiqah ke Malaysia. Oh! Ada tol rupanya. Guna jalan raya pun kena cukai! Usai menempuhi pengalaman kejutan budaya pertama, perjalanan ke Cyberjaya diteruskan. Sepanjang perjalanan Nur Atiqah melapangkan mata dengan keadaan sekeliling yang hijau. Amat berbeza dengan Jeddah tempat dia membesar. Hatinya memuji betapa bijaksananya Tuhan yang mencipta keadaan bumi yang berbeza-beza dan tumbuh-tumbuhan yang berlainan jenis serta penduduk yang berlainan bangsa. Terdetik pula di hati, jika dia datang ke sini lima tahun dahulu tentu dia tidak bersedia dari segi kekuatan mental dan keluasan pengetahuan agama macam. Tentu hatinya tidak terdidik untuk memuji Yang Maha Pencipta apabila kagum dengan kepelbagaian manusia, tumbuh-tumbuhan dan alam sekeliling. Itulah hakikat kedewasaan yang dibajai dengan ilmu pengetahuan dan didikan agama.

Dalam pada dia muhasabah diri, kereta yang mereka naiki sudah berada di foyer syarikat Mawaddah Communications International. Ketibaan mereka di sambut oleh empat orang yang berpakaian eksekutif. Syeikh Hamdani memperkenalkan pengurus-pengurus itu kepada Nur Atiqah seorang demi seorang.

“Sebelum mesyuarat kita solat sunat duha dulu. Solat duha memudahkan mencari rezeki yang halal.” Perkataan halal itu sengaja disebutnya dengan intonasi bagi menimbulkan impaknya pada yang mendengar.

Semua akur dengan saranan Syeikh Hamdani itu. Usai solat duha di surau mereka pun berpindah ke bilik mesyuarat. Lima orang penyelia turut dijemput menyertai mesyuarat. Seperti biasa, sebelum bermula mesyuarat, Nur Atiqah membuka purdahnya. Pengurus dan penyelia mengubah kedudukan. Mungkin ada yang berasa tidak puas hati dengan pelantikan orang yang terlalu muda sebagai CEO. Mungkin juga ada yang terkesima kerana di sebalik hijab itu tersembunyi seorang yang wajahnya mengalahkan artis-artis popular. Syeikh Hamdani dapat membaca reaksi mereka. Dia akan membuat komen tentang itu sebentar lagi. Puan Salmi, sebagai bakal setiausaha (PA) kepada CEO hanya tersenyum.

Tanpa berlengah Syeikh Hamdani memulakan taklimat. Dia memberi penghargaan kepada pengurus dan penyelia kerana sumbangan mereka dalam dua bulan syarikat beroperasi walaupun CEO belum ada. Dia menasihatkan mereka supaya bekerja lebih kuat dan memberikan kerjasama yang tidak berbelah bahagi pada pucuk pimpinan syarikat.

Dia juga menasihati agar semua pengurus dan penyelia tidak memandang rendah kepada sesiapa. Katanya, kita jangan menyangka seseorang yang muda itu tidak berwibawa. Dia juga berkata jangan mengaitkan penampilan seseorang dengan sifat kepimpinan. Juga jangan disangka yang lembut serta bersopan itu tidak ada ketegasan dan yang baharu itu tak ada wawasan. Dia memberi contoh dengan menyebut tentang seorang sahabat Nabi, Usamah bin Zaid. Beliau dilantik oleh Khalifah Abu Bakar sebagai panglima perang pada umur tujuh belas tahun, dan berjaya menewaskan tentera Rom hebat pada umur lapan belas tahun.

Usai memberikan taklimat ringkas, Syeikh Hamdani meminta Nur Atiqah mempengerusikan mesyuarat itu. Usai mengalu-alukan ahli mesyuarat yang lain, Nur Atiqah terus sahaja masuk kepada isu tanggungjawab dan term of reference (TOR). Dia memberikan sehelai kertas kosong kepada setiap pengurus dan penyelia. Dia memberikan masa lima minit untuk mereka menulis tentang TOR dan job description (bidang tugas) masing-masing. Selepas itu dia meminta setiap yang hadir memperkenalkan diri dengan menyampaikan laporan dan perkembangan semasa, serta perancangan akan datang. Mesyuarat itu diakhiri dengan ikrar taat setia dan kerahsiaan kepada syarikat dan sesi seterusnya menandatangani borang pengisytiharan ikrar itu.

Selepas minum dan berkenalan secara tidak formal dengan pengurus dan penyelia, Syeikh Hamdani membawa Nur Atiqah memasuki bilik CEO. Puan Salmi mengikuti di belakang. Cara Puan Salmi menerangkan sistem pemfailan di dalam bilik itu, Nur Atiqah yakin Puan Salmi adalah seorang pembantu peribadi yang baik dan cekap. Dia bersyukur kerana tugasnya sebagai CEO nanti menjadi mudah. Namun tidak ada bantuan yang lebih berguna selain daripada bantuan Yang Maha Berkuasa. Dia menadah tangan, berdoa agar dia sentiasa berlaku adil, tidak menzalimi dan dizalimi oleh sesiapa dan dipermudahkan segala urusannya. Syeikh Hamdani dan Puan Salmi mengaminkan.

Setengah jam kemudian mereka meninggalkan pejabat. Walaupun perjalanan tidak sejauh mana, sempat juga Nur Atiqah melelapkan matanya. Sebelum lelap sempat juga dia mengulangi doa yang dilafazkan semasa berada di pejabat tadi. Sebagai seorang yang dididik dalam agama dia amat prihatin dengan istilah adil dalam berniaga.

“Adil dalam perniagaan, antara lain bermaksud, mencukupkan timbangan, menjual dan membeli dengan harga yang berpatutan, memberikan barangan atau servis yang berkualiti, membuat kiraan yang tepat, berpegang pada janji jual-beli, tidak menyusahkan pelanggan atau vendor dan lain-lain. Seseorang yang menjalankan perniagaan dengan cara tidak adil, bermakna dia kemungkinan mengambil hak orang lain.” Nasihat seorang profesor dalam bidang muamalat sentiasa menemaninya dalam segala urusan berkaitan perniagaan.

0 comments: