Selepas selesai menunaikan ibadat haji, Imam Abu Hanifah pergi ke Madinah bagi menziarahi makam Rasulullah. Semasa berada di Madinah, Imam Abu Hanifah lebih suka beriktikaf di Masjid Nabi. Oleh kerana namanya sudah terkenal, penduduk Madinah meminta beliau mengadakan kuliah agama. Imam Abu Hanifah mengajar mengikut ijtihadnya sendiri. Manakala ulama-ulama di Madinah pula tidak bersetuju dengan beberapa pendapat Imam Abu Hanifah, antaranya mengenai solat berjemaah. Menurut Imam Abu Hanifah, memadai imam sahaja yang membaca Fatihah. Fatwa Imam Abu Hanifah itu menjadi perbualan ramai. Ada yang bersetuju dan ramai yang tidak bersetuju. Bagi mengatasi masalah itu, penduduk Madinah meminta ulama-ulama mereka berbahas dengan Imam Abu Hanifah. Mereka melantik 10 orang ulama Madinah bagi berbahas dengan Imam Abu Hanifah.
“Imam Abu Hanifah, kami datang mahu berbahas dengan tuan mengenai pendapat tuan yang mengatakan apabila solat berjemaah hanya imam yang membaca al-Fatihah. Sedangkan hadis nabi mengatakan bacaan al-Fatihah itu wajib dalam solat,” kata salah seorang kumpulan ulama Madinah itu.
“Saya tidak menolak hadis itu tetapi menolak perawi hadis itu. Saya pernah berguru dengan Ibnu Mas’ud yang pernah hidup pada zaman Rasulullah. Beliau mengatakan mereka yang baru memeluk Islam dan belum hafaz bacaan al-Fatihah juga mendirikan solat di belakang Rasulullah. Oleh kerana itu saya berfatwa memadai imam sahaja yang membaca al-Fatihah,” kata Imam Abu Hanafi.
10 ulama Madinah itu tidak berpuas hati dan tidak dapat menerima pendapat Imam Abu Hanifah. Selepas agak lama berdebat akhirnya Imam Abu Hanifah pun berkata, “Perdebatan ini sungguh tidak adil kerana kamu datang 10 orang melawan saya seorang. Kamu pula ulama-ulama yang hebat sedangkan saya orang biasa sahaja. Oleh kerana itu kamu pulang dahulu kemudian bincang siapa yang menjadi wakil kamu bagi berdebat dengan saya.”
“Baiklah kami setuju,” kata mereka lalu pulang.
Kemudian mereka berbincang bagi memilih siapa dalam kalangan mereka yang paling layak berdebat dengan Imam Abu Hanifah. Berlaku pertengkaran sesama mereka kerana masing-masing mahu menjadi wakil. Akhirnya tercapai juga kata sepakat lalu dipilih seorang yang paling tua dalam kalangan mereka.
Keesokan harinya, sekali lagi 10 ulama itu datang menemui Imam Abu Hanifah. Kemudian salah seorang daripada mereka berkata, “Kami sudah mencapai kata sepakat melantik salah seorang antara kami menjadi wakil bagi berdebat dengan tuan.”
“Adakah dia yang paling tua dalam kalangan kamu?” Tanya Imam Abu Hanifah.
“Benar lelaki ini yang paling tua dalam kalangan kami,” jawab salah seorang daripada mereka.
“Adakah dia yang paling warak?” Tanya Imam Abu Hanifah lagi.
“Benar dia yang paling warak dalam kalangan kami.”
“Adakah dia yang paling fasih lidahnya?”
“Memang benar lelaki ini yang paling fasih lidahnya antara kami.”
“Wakil kami itu adalah orang yang paling alim antara kami.”
Imam Abu Hanifah tersenyum lalu berkata, “Kamu sudah memilih salah seorang antara kamu menjadi wakil. Adakah kamu akan terima apa sahaja yang dia perkatakan?”
“Benar tuan sebab dia yang paling layak sebab itu kami sudah sepakat melantik dia,” kata salah seorang kumpulan ulama Madinah itu.
“Begitu jugalah dengan solat. Imam itu dilantik daripada persetujuan orang ramai. Dia yang paling tua umurnya, paling baik pekertinya, paling berilmu pengetahuan dan paling penting fasih lidahnya membaca al-Fatihah. Apabila kamu sepakat melantik seseorang menjadi imam, cukup dia seorang yang membaca al-Fatihah seperti kamu sepakat melantik dia menjadi wakil dan bersetuju dengan apa yang diperkatakannya,” kata Imam Abu Hanifah.
Akhirnya 10 ulama Madinah itu bersetuju dengan pendapat Imam Abu Hanifah bahawa apabila solat berjemaah, cukup sekadar imam yang membaca al-Fatihah
0 comments:
Post a Comment