- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Tuesday, June 22, 2010

Melur Bunga Ivy

Salam sayang,
Salam sewangi melur,
Salam kasih buat semua pembaca JS,


Maaf ya, Kak Nila terpaksa berkicau lagi bulan ini. Kak Nila begitulah, kalau sekali boleh berkicau, hendak diulang selalu-selalu. Namun apabila tiba angin Kak Nila ingin diam membisu, Kak Nila akan sepi terus. Sesekali ada yang bertanya mana Kak Nila. Aduhai, rupa-rupanya ada juga pembaca yang rindu akan Kak Nila. Terhibur rasa hati, apabila tahu ada orang sayang kat ‘kita’ ahaks.

Terima kasih daun keladi, Lain kali kasihlah lagi Smile

Untuk kali ini, Kak Nila mendapat bantuan daripada pengarang untuk menulis sendiri rahsia ‘ceritanya’! Syukur sangat Smile

Loving an Ivy
Teratai warna merah hati daunnya lebar berbiku, hijau. Ada tempayan besar ditanam seroja berbunga merah jambu. Deretan pasu tirus panjang berisi bunga-bunga kekwa bagai palet-palet warna. Pasu-pasu kecil warna putih dengan juntaian pokok-pokok ivy.

Sebuah impian yang menjadi kenyataan. Seperti ceria lagi warna-warni serta harumnya bunga-bunga di situ, itulah yang dia cuba terapkan dalam hidup ini.

Dia ingin berjaya. Dia ingin bahagia. Dia ingin dihargai.

Pertemuannya dengan Azam membuka ceritera baharu. Azam yang sungguh berazam itu adalah ‘masalah’ baginya. Namun Azam adalah kunci untuk membuka pencarian pada ‘dia’ yang sudah pergi. Sukar untuk dia melupakan ‘dia’, seperti sukarnya dia meletakkan Azam dalam hatinya.

Namun Attia perlukan ayah, jadi perlukah dia tutup hatinya dengan abaikan kehendak Attia? Atau memilih Azam semata-mata bagi membahagiakan anaknya?

Tetapi... kalau hati sudah tidak cinta, bolehkah hati-hati itu disatukan, Khalida?

* * *

NAZURAH AISHAH menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mempersembahkan Melur Bunga Ivy. Ikuti Khalida untuk belajar menggubah bunga di Loving an Ivy, sambil ‘sertai’ babak cemas yang penuh emosi di situ.

Sebuah kisah cinta sewangi melur!

ISBN: 978-967-5118-42-5
Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Harga pembelian melalui pos/pesanan online: RM18.00

*****

Okey sekarang dengarlah sendiri cerita Nazurah Aishah fasal Khalida dan Azam! Ceritanya lembut dan cantik seperti sampul kulitnya yang pastel itu...

Ya! Saya tulis Melur Bunga Ivy kerana saya sudah lama mengidam untuk memiliki sebuah kedai bunga dan cenderamata. Itu impian saya dengan Isyaa, sahabat baik saya sejak dulu lagi. Kami ingin mempunyai sebuah kedai yang indah, wangi, segar dan ceria. Ingin berkongsi kebahagiaan dengan semua orang – bunga, hadiah yang membahagiakan, penawar duka nestapa!

Kiranya, Melur Bunga Ivy inilah ‘kertas kerja’ yang akan saya bentangkan pada bank-bank atau agensi kerajaan yang akan kami tuju untuk memohon tambahan dana!

Kenapa tajuknya berbunyi pelik? Melur berbunga Ivy? Bukankah ivy itu sejenis pepohon menjalar yang tidak berbunga? Jawapannya boleh didapati dalam cerita ini. Ia bukanlah teka-teki tapi ini merupakan simbolik buat seorang wanita yang bersemangat waja, penuh dengan kasih sayang, setia, jujur dan baik hati... juga sedikit keras kepala.

Berbalik pada Melur Bunga Ivy, ini kisah Khalida. Seorang perempuan yang mencari arah dalam hidupnya. Dia terperangkap dengan wajahnya, namun dia tidak punya agama sehinggalah dia bertemu dengan cahaya hidupnya. Namun bahagia tidak datang seindah yang dia impikan. Sekejap benar Tuhan pinjamkan bahagia buat Khalida. Namun dia tidak pernah mensia-siakan waktu. Dia punya hidup yang indah, hidupnya penuh warna – merah, hitam, jingga, biru, hijau dan kelabu. Biarpun penuh dengan dugaan dan halangan, namun ia bukan alasan untuk Khalida menyerah kalah. That’s the spirit I wanna share with all my readers!

Saya suka menulis kisah perempuan yang bersemangat kental sebagai doa dan harapan agar saya dan juga pembaca (baik lelaki mahupun perempuan) akan jadi sekental watak yang saya cipta. Hidup ini memang penuh dengan cabaran dan cabaran... itulah yang menjadikan hidup ini lengkap dan indah. Kalau tidak ada masalah, manusia tidak fikirkan jalan penyelesaiannya. Lalu hidup jadi hambar, statik dan lurus tanpa ada keterujaan untuk konar-baring di mana-mana selekoh dan merasai, aduh, pedihnya luka itu!

Dan… yang penting sekali orang lelaki harus kental dengan pendiriannya. Harus tahu mereka mahu apa dalam hidupnya; harus berpegang teguh dengan prinsipnya kerana lelaki itu nakhoda dalam pelayaran hidup. Kalaulah nakhoda tidak tahu haluan, alamatnya hanyutlah bahtera di lautan.

Cerita ini ditulis diiringi semangat kekeluargaan dalam kerabat Jemari Seni. Tanpa Lara yang rajin mendengar keluh-kesah; Syud yang jadi teman ketawa; Nawwir sahabat yang setia; dan kedua-dua kakanda Nila dan Ajah… entah sesat ke mana agaknya ‘Azam dan Khalida’. DAN tanpa cetusan idea si dia buat pengakhiran kisah, mungkin ‘Si Azam’ tidak ketemu bahagianya. Dia yang mahukan ending yang bahagia tetapi pendek: lalu saya tulis sebagai hadiah untuknya. Semoga dia bahagia, saya berbahagia, kita semua bahagia – AMIN.

Bacalah Melur Bunga Ivy, dalamnya ada sebuah keluarga yang harmoni, ada tetangga yang sejahtera biarpun ada sedikit salah tanggapan dan beberapa titis rasa benci. Jangan risau, anda tidak perlukan tisu untuk mengelap air mata kali ini… saya jamin! Buat mereka yang takut-takut hendak baca cerita saya sebelum ini, cubalah Melur Bunga Ivy – ini adalah cerita yang indah dan wangi.

Saya, apa yang saya tulis.

Sayang buat semua,

Nazurah Aishah



Phewet, terima kasih Nazurah Aishah kerana ‘tuduh’ Kanda Nila orang penting juga dalam Melur Bunga Ivy – hidung jambu air Kak Nila sudah kembang kempis ni ahaks. Itu cerita Nazurah Aishah fasal ‘anak’ terbaharunya; anak ketiga! Penulisannya semakin matang. Sekarang sudah mulai menulis projek keempatnya. Bravo!

Nazurah Aishah akan bersama-sama dengan Syud dan Imaen, mempromosi novel terbaharu masing-masing di Pesta Buku Selangor 2010 (mulai 25 Jun-5 Julai 2010) bertempat di PKNS Shah Alam. Tunggu ya, JS akan keluarkan jadual bertugas penulis, serta apa hadiah yang menunggu pengunjung skuad JS di Gerai C20 nanti.

DAN, tidak lupa jom sama-sama ikut Tuanku Sultan Selangor sempena kempen Hari Membaca pada 26 Julai; membaca di tepi Tasik Shah Alam itu selama satu sejam sahaja. Jomlah, jomlah...!

Salam sayang:

- Kak Nila -



Petikan muka surat 1-4:

BAJU KURUNG warna hijau limau nipis dengan corak paisley warna merah jambu daripada kain sifon yang dipakainya sedang bermesra dengan angin. Gadis sederhana tinggi itu meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan mentari petang yang menyilaukan. Kaca mata hitam yang dipakainya sudah cukup untuk menapis cahaya jingga itu. Daripada lenggok dan gayanya, dia seorang yang bisa menarik perhatian sesiapa jua. Dia tidaklah sangat cantik tapi dia punya aura tersendiri. Dia anggun dengan gayanya. Daripada pakaiannya, gaya rambut dan wangiannya, orang lain boleh teka dia bukanlah gadis yang biasa-biasa. Daripada mata lain yang menelaah, mungkin dia sukar didekati namun persepsi orang segera berubah apabila mereka benar-benar mengenalinya.

Perhentian teksi terletak lebih 300 meter di hadapannya. Dia perlu berjalan kaki melintasi Gerai Tangga Batu yang popular seantero Johor Bahru dengan air batu kisarnya yang sedap amat dan deretan pejabat-pejabat kerajaan. Aduh! Jauhnya dia perlu berjalan kaki dari Menara TJB sehingga ke hadapan pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru dan bangunan Pejabat Pos Besar Johor Bahru. Dengan wedges setinggi dua inci, dia melangkah penuh berhati-hati.

Beberapa orang yang mengenalinya sempat menyapa dan berbalas senyum sepanjang dia berjalan kaki hendak menuju ke perhentian teksi. Petang ini seperti petang-petang sebelumnya, ramai pekerja sedang berebut mengejar waktu mahu sampai ke rumah dengan cepat. Ada yang perlu singgah di sekolah... menjemput anak pulang, ada yang mahu ke pasar... membeli keperluan dapur dan tidak kurang juga ada yang mahu mengukur pusat membeli-belah melampiaskan nafsu berbelanja.

Namun hari ini hari yang berbeza untuknya, hari ini hari pertama dia menaiki pengangkutan awam untuk pulang ke rumah. Kereta miliknya sudah dijual demi mencapai impian yang disimpan bertahun-tahun. SLK Kompressor itu terlalu mewah untuk orang yang sederhana sepertinya. Biarpun orang Jerman kata kereta itu sportlich, leicht und kurz (sporty, light and short) namun kereta itu tetap terlalu besar untuk dia parkir di hadapan rumah sewanya yang murah.

+ Do you need a ride?

Tersenyum gadis itu membaca teks yang baru sahaja diterimanya. Jarinya pantas membalas jawapan positif. Rezeki jangan ditolak, apatah lagi apabila ada yang sudi hendak menumpangkannya.

+ Tunggu depan JOTIC. I’ll pick you there. - Thanks Love!
Dia tidak jadi menunggu teksi di hadapan Pejabat Pos Besar Johor Bahru. Haluan kaki mula diubah, dia melintasi jalan raya selepas menoleh ke kiri dan kanan. Dia menyusuri tepi Bangunan Tabung Haji yang gagah. Matanya sempat menikmati tarian alam persembahan pepohon rattlesnake berdaun hijau keperakan berbelang ungu bergoyang disapa angin. Hatinya turut tertawan dengan deretan ginger torch warna merah, lantas pula membuahkan idea untuk perniagaannya yang bakal dia mulakan operasi dua hari lagi. Khayal memerhati deretan tumbuhan hiasan yang ditanam kontraktor Majlis Bandaraya, dia tidak perasan akan ada halangan yang harus dielak di hadapannya.

Bap!

“Aduh!”

“Ops! Sorry!” sebutnya spontan, begitu juga dengan tangannya yang pantas menahan kaca matanya yang sedikit bergerak apabila terlanggar lelaki itu. Dia berpaling dan melihat pada lelaki yang dilanggarnya. Namun seorang lagi lelaki yang berdiri di sebelah ‘mangsa langgar’ itu telah memaku pandangan matanya sampai kaku buat beberapa detik. Lelaki itu tertawa sambil menepuk bahu lelaki yang dilanggarnya itu.

“Azz…” sebutnya perlahan.

“Kau ni tak nampak ke Kak Long ni nak lalu, elaklah patutnya. Kesian Kak Long, kat mana yang sakit Kak Long?” kata salah seorang daripada tiga lelaki itu.

“Eh! Bukan aku yang langgar dia la…” jawab si mangsa langgar.

Sorry, sorry… saya tak sengaja.” Suaranya pula. Dia bagai baru bangun daripada mimpi pabila lelaki yang dilanggarnya bersuara.

“Tak apa, tak ada yang parah pun. He survived.” Sahut lelaki yang memaku matanya tadi.

“Kena langgar dengan perempuan aje, bukan dengan steamroller, dia okey Kak Long.” Sambung lelaki itu lagi.

Gadis itu meneruskan perjalanan setelah tiga orang lelaki itu melangkah pergi. Sesekali dia berpaling ke kiri, ke Bangunan JOTIC tempat lelaki itu dan sahabatnya tuju.

“Is it him?” suaranya perlahan berkata.

0 comments: