- Welcome To My Blog -

..:: Followers ::..

Friday, May 28, 2010

KISAH-KISAH MENARIK DI DALAM HADIS

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda (yg bermaksud):

“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Raja yang menaklukinya ialah sebaik-baik raja dan tentera yang berada di bawah pimpinannya ialah sebaik-baik tentera.” [HR Ahmad Bin Hanbal, Al-Musnad (4/335)]

Bagi merealisasikan hadis tersebut, usaha menakluk Konstantinopel telah dimulakan oleh Saidina Ali (34H), Muawwiyah bin Abu Sufian (84H), Sultan Sulaiman Abdul Malik (91H), Khalifah Harun al-Rasyid (165H), Sultan Beyazid (1391H, 1397H, 1400H) dan Sultan Murad (825H); tetapi, semuanya gagal.

Akhirnya, pada 20 Jamadil Awal, 857H bersamaan 29 Mei, 1435M barulah Kota Konstantinopel berjaya ditawan oleh sultan Muhammad al-Fateh.

- Sultan Muhammad Al-Fateh -

Sebelum itu, Kota Konstantinopel pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria, dan Rusia daripada Kerajaan Rom Timur tetapi tidak berjaya. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya kepada hadis Nabi s.a.w yang mengatakan kota itu akan ditawan oleh orang Islam.

Selepas 800 tahun lebih hadis itu diucapkan oelh Nabi s.a.w, barulah ia menjadi kenyataan.


DI SEBALIK DUA PERCIKAN API

Perang Khandaq ataupun Perang Ahzab berlaku pada tahun 5H. telah diriwayatkan di dalam sebuah hadis Nabi s.a.w, ketika baginda s.a.w sedang menggali parit sebagai persiapan menghadapi perang tersebut, mereka terjumpa sebuah batu besar. Para sahabat cuba memecahkannya tetapi tidak berjaya.

Kemudian, Nabi Muhammad s.a.w mengambil penukul, baginda s.a.w berdoa lalu memukul batu itu. Pada pukulan pertama, kelihatan percikan api dan batu itu pecah separuh. Pada pukulan kedua, kelihatam lagi percikan api dan batu itu pecah semuanya.

Kemudian, baginda s.a.w bersabda (yg bermaksud):

“Pada pukulan pertama, aku melihat gedung dan istana-istana kisra di Hirab (Parsi). Pada pukulan kedua, aku melihat istana-istana merah di Romawi (Rom). Sesungguhnya umatku pasti mengalahkan mereka.”

- Gambar Hiasan -

Hadis itu terbukti kebenarannya apabila akhirnya dua kuasa besar itu dapat dikalahkan oleh tentera Islam. Parsi dikalahkan semasa pemerintahan Saidina Abu Bakr dan Rom dikalahkan semasa pemerintahan Saidina Umar.


AWIS AL-QARNI

Di dalam sebuah hadis, telah diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w berpesan kepada Abu Bakr dan Umar supaya mencari seorang lelaki bernama Awis Al-Qarni yang berasal dari Yaman; kerana lelaki ini doanya makbul.

- Gambar Hiasan -

Selepas baginda s.a.w. wafat, pada setiap kali musim haji, Abu Bakr dan Umar pasti menunggu kedatangan jemaah haji dari Yaman bagi mencari seorang lelaki yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Selepas beberapa tahun berlalu, orang yang dicari masih belum ditemui. Namun, mereka percaya kepada hadis Nabi s.a.w itu benar dan mereka tidak berputus asa mencarinya.

Akhirnya, pada tahun ke-11 ataupun selepas berusaha mencarinya selama 11 tahun, barulah lelaki itu ditemui.


HADIS MENCERITAKAN MASA HADAPAN

Bagaimanakah Rasulullah s.a.w mengetahui semua peristiwa ini? Adakah baginda s.a.w seorang tukang tilik yang mampu meramal masa hadapan? Sudah tentunya tidak. Bukankah AlLah telah berfirman (yang bermaksud):

Katakanlah (ya Muhammad): "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman". [Al-A’raf:188]

Habis tu, bagaiman Nabi s.a.w dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan? Ya, Nabi s.a.w dapat mengetahui apa yang akan berlaku pada masa hadapan kerana ianya merupakan wahyu AlLah kepada baginda sebagaimana firman AlLah (yang bermaksud):

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada mereka sesuatu ayat Al-Quran (sebagaimana yang mereka kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek): "Mengapa Engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu?" katakanlah: "Sesungguhnya Aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan - yang membuka hati - dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman". [Al-A’raf:203]

- Gambar Hiasan -

Tapi yang peliknya, jika hadis-hadis di atas juga merupakan wahyu daripada AlLah, mengapa ianya tidak terdapat di dalam al-Quran? Bagi yang bertanyakan soalan ini, saya ingin bertanya kembali, “Adakah wahyu AlLah kepada Nabi s.a.w terhad dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran semata-mata?”

Jika anda menjawab “Ya”…ertinya anda sedang berkata yang Nabi s.a.w mengetahui perkara-perkara ghaib tanpa perantaraan wahyu AlLah ta’ala.

Jika anda berkata “Tidak, wahyu AlLah kepada Nabi s.a.w tidak terhad dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran semata-mata”…ertinya, anda sedang membenarkan firman AlLah di dalam surah Al-A’raf ayat 203 seperti yang telah dinyatakan di atas (yang bermaksud):

“…"Sesungguhnya Aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku…”

Tapi, bagi yang masih mengingkari hadis-hadis Nabi s.a.w dengan mengatakan bahawa hadis-hadis Nabi yang sebenar hanyalah apa yang tertulis di dalam al-Quran…terserahlah kepada anda. Hujah-hujah naqli dan aqli telah dinyatakan. Jika ada yang masih berasa ragu-ragu dengan hadis-hadis sohih, anda sebenarnya sedang membenarkan firman AlLah (yang bermaksud):

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” [Al-A’raf: 179]


HELAH DI SEBALIK PENIPUAN ORIENTALIS

Para orientalis yang mula-mula menafikan kesahihan hadis (yang kemudiannya menjadi sumber rujukan utama golongan anti-hadis) sebenarnya berhasrat mahu memalingkan umat Islam daripada hadis-hadis yang biasanya menerangkan peristiwa-peristiwa besar yang bakal berlaku pada akhir zaman.

- Gambar Hiasan -

Bukankah al-Quran juga sudah menyatakan peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku pada akhir zaman?

Benar, al-Quran juga telah memberikan "hint" tentang beberapa peristiwa besar yang bakal berlaku pada akhir zaman seperti kedatangan tentera Ya’juju dan Ma’juj. Tetapai, hadis-hadis Nabi s.a.w menerangkan dengan lebih terperinci; contohnya: keluar sejenis binatang dari perut bumi yang digelar Dabbatul Ardh, kelahirnya Dajjal, keluar asap tebal, kemunculan Imam Mahdi dan turunnya Nabi Isa a.s sebagai klimaks kebangkitan semula Islam.

Ya, inilah tujuan utama mereka! Dengan mengingkari hadis-hadis Nabi s.a.w, umat Islam tidak akan mengetahui bahawa pada akhir zaman, Islam akan kembali menguasai dunia. Atau dengan kata lain, umat Islam akan semakin mudah diperkotak-katikkan dan seterusnya dikuasai oleh golongan kuffar yang berada di bawah pimpinan al-Masih al-Dajjal!

Ayuh, marilah kita kembali bersatu di bawah satu aqidah yang bertunjangkan Al-Quran dan al-Sunnah kerana akhir zaman adalah milik kita! Pasti milik kita!

ALLAHU AKBAR!!!

WalLahu a’lam…


p/s (andai masih ada yang engkar): “Jadilah pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta jangan pedulikan orang-orang yang bodoh” [Al-A’raf:199]


RUJUKAN

1) Al-Quran Al-Karim
2) Hadis-hadis Nabi s.a.w
3) Kitab-kitab kecil karya para ulama’ yang diketahui latar belakangnya dan diperakui ketauliahan mereka oleh dunia Islam

0 comments: